(Video) Rider GrabFood provok & libas cota pada sekumpulan anggota polis di IPD Besut, ditahan



Tular di media sosial, seorang penghantar makanan GrabFood bergelut dengan sekumpulan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di pintu masuk utama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut, mengundang banyak reaksi netizen. 


Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, pihaknya telah mengesan video kejadian itu tular di TikTok dan dimuat naik oleh pemilik akaun @AbangSpek89 dengan tajuk PDRM vs Abang GrabFood. 


Siasatan awal mendapati, penghantar makanan terbabit terdahulu datang ke IPD dan mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan, selain membuat provokasi terhadap anggota yang bertugas. 


"Suspek mengeluarkan kata-kata berbaur ugutan dan membuat provokasi serta melibas cota kepada anggota yang bertugas di pos pengawal. 


"Beberapa anggota polis yang berada berhampiran kemudian datang memberi amaran agar suspek beredar. Suspek kemudian mengambil sebatang cota daripada bakul motosikal dan cuba berjalan masuk ke dalam kawasan IPD Besut," katanya. 


Tindakan suspek mengundang padah apabila sekumpulan anggota polis berkenaan bertindak menghalangnya dari melakukan onar, sebelum ditahan untuk tindakan lanjut. 



Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar suspek bertindak demikian, mengikut Seksyen 506 dan 186 Kanun Keseksaan, dan Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.


Azrol Anuar turut menasihatkan netizen tidak membuat sebarang spekulasi dan menularkan maklumat yang tidak sahih yang boleh mengganggu ketenteraman awam, atau berdepan dengan tindakan undang-undang.

No comments