KWSP: 'Kita tak bagi, ini bukan lagi (tempoh sekatan akibat) Covid-19, orang dah mula bekerja' - PMX



Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, hanya pencarum tertentu sahaja yang akan diberi pertimbangan untuk menggunakan caruman KWSP sebagai cagaran kepada pihak bank bagi tujuan pembiayaan kewangan. 


Namun, syarat dan kaedahnya kelak akan diperketatkan dan beliau sekali lagi mengulangi bahawa kerajaan tidak akan membenarkan pengeluaran caruman daripada KWSP melalui pengeluaran bersasar seperti yang dilakukan oleh kerajaan sebelumnya. 


"Kita tak bagi, kita dah kata... dah keluarkan (pun sebelum ini), ini bukan lagi (tempoh sekatan akibat) Covid-19. Orang (sudah) mula bekerja. 


"Tapi ada beberapa kes seperti mana yang saya sebut, kalau dengar ucapan saya, ada kes yang terdesak seumpamanya. Walaupun dia ada wang tetapi dia tak boleh bayar yuran pendidikan anak dia di luar negara. Kes-kes seperti itu kita telitilah tapi kita tak benarkan dia ambil daripada KWSP dan syarat-syaratnya diperketat," katanya. 


Khamis lalu ketika sesi penggulungan usul Belanjawan 2023, Anwar berkata kerajaan akan memperkenalkan kaedah yang membolehkan pencarum KWSP menggunakan wang caruman di agensi itu sebagai cagaran kepada pihak bank bagi tujuan pembiayaan kewangan. 


Kaedah itu hanya ditawarkan kepada pencarum yang benar-benar 'terdesak' untuk mendapatkan pinjaman kewangan dengan cagaran daripada agensi terbabit. 


Namun, ramai yangg menyifatkan cadangan itu tidak bijak kerana menggalakkan orang membuat hutang baru sedangkan hutang lama masih belum selesai dibayar. 


Sumber: Astro Awani

No comments