Orang politik dilarang beri ceramah, kuliah & khutbah di seluruh masjid & surau Terengganu



Mana-mana ahli politik, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Dewan Negara adalah tidak dibenarkan memberi kuliah atau ceramah agama, termasuk khutbah Jumaat di seluruh masjid serta surau di Terengganu, berkuatkuasa sejak 2 Mac 2023. 


Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Terengganu, Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu dibuat bagi mengelakkan tempat ibadat umat Islam di Terengganu disalahgunakan oleh parti politik. 


"Semua ahli yang berhormat tidak dibenarkan bertindak sebagai khatib dan imam solat Jumaat di masjid. 


"Semua kepimpinan dan aktivis parti politik tidak dibenarkan menyampaikan apa-apa ceramah, kuliah atau pengajaran agama di masjid dan surau dalam Terengganu," katanya. 


Bagaimanapun, pengecualian diberi kepada pemegang tauliah mengajar atau dengan kebenaran daripada Maidam Terengganu. 


Menurut Shaikh Harun, larangan itu dikeluarkan oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang berdukacita apabila ada ahli politik tertentu mengajar agama atau menjadi khatib  dan imam solat tanpa kebenaran pihak berkuasa.


Jelas Shaikh Harun,  masjid dan surau tidak boleh digunakan untuk sebarang kegiatan yang menimbulkan keresahan atau perselisihan dalam kalangan masyarakat. 


Ini termasuk menggunakan masjid atau surau bagi melaksanakan apa-apa aktiviti yang pengisiannya bercampur aduk dengan unsur-unsur politik kepartian. 


Semua pengerusi dan ahli jawatankuasa masjid serta surau di negeri itu diarahkan untuk memastikan penceramah, pengkuliah, tenaga pengajar dan khatib solat Jumaat yang dijemput mempunyai tauliah daripada Maidam.  


Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) juga dikehendaki memantau agar arahan yang dikeluarkan itu dapat dipatuhi. 


Sumber: MalaysiaKini

No comments