'Tak sangka ini 'hadiah' birthday ke-29' - Nurul Shuhada dedah Athira Yuhada masih jalin hubungan dengan Hafidz Roshdi



Nurul Shuhada Mat Shukri, 29, tidak menyangka dia ditumbuk di bahagian muka oleh suaminya, Hafidz Roshdi, di hari ulang tahun kelahirannya sehingga terpaksa menerima 10 jahitan di pipi kiri. 


"Tak sangka ini adalah 'hadiah' sempena ulang tahun kelahiran saya yang ke 29. Tergamak dia melakukan kekerasan demi orang lain, sedangkan saya pernah bersamanya selama ini hingga dikurniakan dua anak," katanya memetik laporan dari Harian Metro, Jumaat, 3 Mac 2023. 


Menurut Shuhada, laporan polis telah dibuat dan dia menyerahkan tindakan selanjutnya kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap suaminya. 


Doktor memaklumkan, kecederaan itu juga akan menyebabkan pipinya berparut dan kekal selama-lamanya. 


Dalam pada itu juga, Nurul Shuhada mendedahkan, Athira Yuhada yang sebelum ini berkata hubungannya dengan Hafidz sudah putus, tetapi sebenarnya berbohong dan mereka masih menjalinkan hubungan seperti biasa. 


"Mereka masih berhubung. Kejadian yang berlaku semalam pun disebabkan perkara ini. Jadi, jangan berbohong sebab polis boleh hmendapatkan bukti rekod perbualan," katanya. 


Ditanya mengenai anak, Nurul Shuhada memaklumkan dua anaknya kini berada di Perlis di bawah jagaan keluarganya. Dia kini berada di Kuala Lumpur untuk beberapa hari atas urusan kerja dan tidak menyangka akan ditumbuk oleh Hafidz. 


Kejadian berdarah itu membuatkan Nurul Shuhada nekad untuk berpisah dengan Hafidz dan dia berharap pelakon itu melepaskannya dengan baik pada 21 Mac ini di mahkamah. 


"Saya sudah tidak mampu untuk hidup bersama dengannya. Saya ingin membina kehidupan baru. Jadi saya harap dia akan mudahkan segala proses ini," katanya. 


Sumber: Harian Metro

No comments