'Saya tahu saya ramai musuh, tak mustahil orang cuba nak jatuhkan saya' - DS Vida terkejut dengan tuntutan RM59 juta dari 41 pelabur Lavida Coins



Ahad lalu, Utusan Malaysia melaporkan ramai individu yang mengambil bahagian dalam pelaburan kripto Lavida Coin (DSV Crypto Club, LUX Galaxies dan VI Profit Galaxy) mendakwa mereka mengalami kerugian dan kini menuntut wang mereka daripada ahli perniagaan Datuk Seri Vida (DSV). 


Lapor mStar Online, seramai 41 individu yang mengalami kerugian di mana keuntungan yang dijanjikan sejak 2018 tidak pernah dipulangkan kepada mereka. 


Kesal dengan apa yang berlaku, mereka bersepakat memfailkan writ saman terhadap DSV bersama tiga lagi rakan kongsinya. 


Difahamkan, writ saman dan penyataan tuntutan telah diserahkan kepada DSV selaku defendan pertama pada 15 Disember lalu di Empira Beauty DSV, Angsana Mall, Ipoh, Perak. 


Bagaimanapun, DSV pula tampil mendakwa ada pihak yang cuba menggunakan isu itu untuk menjatuhkan maruah dan perniagaannya. 


"Saya dah lama dalam industri perniagaan dan sosial media. Saya tahu ramai yang tak suka saya. Saya tahu saya banyak musuh. Jadi tak mustahil ada orang cuba nak menjatuhkan saya. 


"Mungkin mereka sakit hati atau cemburu. Memanglah terkejut dengan berita itu tetapi saya tak terkesan pun," katanya memetik laporan dari portal mStar Online, Jumaat, 10 Mac 2023. 


DSV juga mengakui dia terkejut dengan angka tuntutan sebanyak RM59 juta yang membabitkan 41 pelabur. Beliau enggan mengulas lanjut dan mahu menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada peguam untuk tindakan lanjut. 


DSV atau nama sebenar Hasmiza Othman turut mempertikaikan tindakan 41 pelabur berkenaan yang tidak mencarinya di media sosial untuk berbincang mengenai isu tersebut. 


"Mereka tidak ada menghubungi saya pun, malah boleh sahaja cara saya di media sosial. Saya pun sentiasa ada di Malaysia," katanya. 


Sumber: Utusan Malaysia, mStar Online

No comments