Dafi akui tawaran kerja semakin berkurangan selepas bapanya bukan lagi Perdana Menteri



Pelantun suara Bila Terasa Rindu, Dafi Ismail mendakwa dia kehilangan satu demi satu tawaran kerja sejak bapanya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah tidak lagi menjawat jawatan Perdana Menteri.


Memetik laporan Harian Metro, walaupun berasa kecewa, Dafi tidak mempersoalkan perkara ini dan menganggap rezekinya tiada untuk terbabit dalam projek yang awalnya dipersetujui bersama.


"Tawaran bekerja bukan tiada langsung. Memang ada, tapi ada juga yang dah dipersetujui tapi dibatalkan begitu saja. Tiba-tiba mereka beritahu tak jadi sedangkan sebelum itu beriya-iya bagi tawaran.


"Saya nak persoalkan sangat sebab perkara ini berlaku pun susah juga. Jadi, saya terima saja dan anggap tiada rezeki. Tahun lepas jadual saya kosong tiada apa-apa tawaran.


“Saya tak rasa sedih kerana dah bersedia dengan sebarang kemungkinan. Cuma orang tak faham saya sebenarnya dari awal tak terbabit dengan karier politik ayah," katanya.


Menurutnya, dia langsung tidak terkesan apabila status bapanya bukan lagi Perdana Menteri seperti dulu. Namun begitu, dia turut terkilan kerana ramai yang datang kepadanya semasa bapanya memegang tampuk pemerintahan negara.


"Saya tak kisah sebab saya tak hadap (minta) pun. Saya dah ada orang-orang yang saya rasa perlukan dan akan kekal di situ. Tapi contohnya masa ayah ada kuasa, ramai yang datang.


"Saya sampai tak senang dalam hidup kerana nak melayan orang. Nanti dikata sombong, mereka datang dengan cara baik jadi saya layanlah.


“Semuanya saya jaga. Bila dah tiada apa-apa, semuanya lesap macam itu saja. Masa ayah dilantik jadi Perdana Menteri, saya balas mesej dari jam 5 petang sampai 9 pagi esok. Mereka yang dah lama hilang pun tiba-tiba bertanya khabar," katanya.


Dafi berkata, sepanjang bapanya menjadi Perdana Menteri, dia tidak pernah bercakap soal politik.


"Saya ada rasa hormat terhadap orang yang ikut saya dan peminat yang mungkin fahaman politik tak sama dengan saya. Tapi untuk harapkan orang terus hormat saya itu memang tiada.


"Orang selalu cakap Dafi senanglah sebab anak 'seseorang'. Bukan nak cakap besar, kalau saya nak guna ayah saya, mungkin kedudukan saya bawah sikit dari Datuk Seri Siti Nurhaliza.


"Tapi ayah saya bukan jenis begitu. Dia pun bermula dari bawah. Maknanya dia tahu rasa puas itu datang bila semua itu dapat sendiri. Kami anak-anak tak dapat apa keistimewaan pun," katanya.


Menurutnya, ramai yang tidak tahu situasi sebenar dan menganggap seolah dia menumpang kemewahan bapanya.


"Mereka tak tahu situasi sebenarnya. Malah waktu-waktu tiada tawaran kerja, saya pernah pecahkan tabung berisi duit syiling bawa ke bank untuk ditukar buat belanja sampai hujung bulan.


"Ayah tak bagi duit pun. Saya pun bukan jenis meminta-minta. Memang malu apabila dah besar masih mengharapkan mereka," katanya.


Sumber: Harian Metro

No comments