'Saya terasa dikhianati, dia berkahwin tanpa izin saya' - Nurul Shuhada balas kenyataan bekas suami
Tempoh 48 jam, itu tempoh yang diberi oleh Hafidz Roshdi kepada bekas isterinya, Nurul Shuhada Mat Shukri untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kerana telah memfitnah dan mengaibkan diri dan keluarganya.
Nurul Shuhada bagaimanapun tidak berbuat demikian dan memilih untuk membalas kenyataan bekas suaminya itu melalui hantaran di Instagram, beberapa jam selepas pelakon itu berbuat demikian.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, dia sebelum ini memuat naik kenyataan secara terbuka di media sosial tanpa mengetahui tentang kedudukan undang-undang. Namun selepas dinasihatkan oleh peguamnya, dia tidak akan berbuat demikian dan apa-apa yang berlaku seterusnya akan mengikut saluran undang-undang.
"Saya juga telah cuba sehabis baik. Sejak mula berkahwin, saya telah melupakan masa depan saya untuk sambung belajar walaupun peluang telah diberikan dan saya telah memutuskan untuk memberi perhatian menjadi isteri dan ibu sepenuh masa.
"Menjadi isteri Hafidz yang sentiasa menyokongnya dalam kariernya walaupun kadangkala sejak perkahwinan kami diuji dengan pelbagai ujian. Saya berdiam diri, masih tetap setia bersama dengannya.
"Namun baru-baru ini saya telah diuji dengan ujian yang sangat berat. Ujian yang bukan mudah untuk kami wanita hadapi.
"Saya tidak lagi boleh berdiam, saya terasa dikhianati, semuanya berlaku tanpa pengetahuan saya. Tetapi dengan pengetahuan keluarga Hafidz iaitu membenarkan Hafidz berkahwin tanpa izin saya.
"Saya terasa seorang diri dan hadirnya pihak lain yang menjadi orang ketiga dalam kehidupan kami.
"Saya sebagai wanita menjadi marah, geram, keliru memikirkan pelbagai hal. Saya kecewa, sedih memikirkan nasib saya dan anak-anak. Mampukah kami meneruskan kehidupan saya sebagai suri rumah dan bangkit untuk membela saya dan anak-anak?" katanya.
Jelas Nurul Shuhada, pernah dia mencuba untuk menyelesaikan hal itu dan memberi peluang untuk berbincang. Tetapi dia dikasari dan dikhianati sehingga meninggalkan bekas luka di hati dan secara fizikal.
Di akhir kenyataan itu, Nurul Shuhada menegaskan dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas suaminya itu yang telah menumbuk mukanya sehingga menyebabkan kecederaan parah dan menerima lebih dari 10 jahitan.
Sumber: Instagram Nurul Shuhada
Post a Comment