'Shuib dimaki & dihina oleh sahabat seperjuangannya sendiri di depan orang ramai' - Ibu tampil dedah punca sebenar Shuib enggan kembali ke SRL



Penjelasan pelawak Jep Sepahtu mengenai keengganan rakan baiknya, Shuib Sepahtu, kembali ke program Sepahtu Reunion Live (SRL) disangka akan menjernihkan keadaan dan sekali gus menjawab persoalan ramai. Namun masalah lain pula yang timbul apabila ada pihak yang mempertikaikan penjelasan Jep yang didakwa tidak mendedahkan cerita sebenar. 


Tuan empunya badan, Shuib, dilihat masih mendiamkan diri dan meneruskan rutin hariannya seperti biasa. Tetapi ibunya, Salamiah Jalani semalam mendedahkan punca sebenar anaknya enggan menyertai SRL semula. 


Menerusi hantaran di Instagram, Salamiah menjelaskan, Shuib sebenarnya tidak berminat untuk berada dalam SRL lagi kerana ditindas dan dilayan seperti orang yang tidak bermaruah. 




"Hari ini saya tampil bersuara sebagai seorang ibu yang cuba mempertahankan anaknya, Shuib, dari terus menjadi bualan tanpa mengetahui keseluruhan jalan cerita mengapa dia sudah 'Tak berminat lagi untuk berada dalam SRL'. 


"Sebagai ibu, saya menyokong tindakan anak saya untuk tidak lagi menyertai SRL ketika itu. Kerana itu lebih baik buat anak saya dari terus menerus ditindas dan diperlakukan seperti orang yang tidak bermaruah. 


"Di mana yang dikatakan 'sahabat', bila saat 'sahabat' seperjuangan dikenakan tindakan, tiada 'sahabat' yang mempertahankan. Malah dia dimaki dan dihinanya lagi oleh sahabat sendiri di depan orang ramai. Itu ke yang dikatakan 'sahabat?'.




"Di saat dia masih dalam siasatan SPRM dan masih belum dijatuhkan hukuman bersalah, dia telah pun dilayan macam orang bersalah oleh 'sahabat' sendiri. Diperli, dimalukan di dalam bilik meeting seolah-olah macam dia takde maruah. 


"Untuk apa kita hanya menjadi baik di depan orang ramai tetapi di belakang kita sebaliknya. Dan kerana itulah jawapannya sentiasa tergantung kerana dia masih mahu menjaga aib seseorang. 




"Dia masih tetap meletakkan jawapan perginya dia dari SRL adalah kerana Astro, sedangkan jawapan sebetulnya bukan itu. Tetapi untuk tidak mengeruhkan keadaan, dia masih menyimpan jawapan yang sebetulnya. 


"Ketika itu dia memilih untuk membawa haluan sendiri bukan kerana ego atau lupa diri, tetapi dia lebih menjaga maruahnya dari terus dipijak-pijak orang tanpa memikir sedikit pun perasaannya. 


"Dan yang membuatnya sedih kerana itu adalah rakan seperjuangan dan rakan yang dikenali sebelum dia menjadi artis," katanya. 



Jelas Salamiah, dia sendiri selalu melihat Shuib bersedih, kemurungan yang terpaksa melupakan minat terhadap kerjaya itu buat seketika kerana bukan wang yang dikejar tetapi maruahnya yang perlu dipertahankan. 


Salamiah turut menegaskan penjelasannya itu bukanlah mahu meraih publisiti murahan, tetapi mahu tampil bersuara untuk Shuib yang sudah bertahun-tahun memendamkan hal sebenar. 


Sebelum ini, Jep menjelaskan Shuib enggan kembali menyertai SRL disebabkan merajuk dan tidak berpuas hati dengan teguran pihak pengurusan susulan lakonan babak 'double meaning' yang dibuatnya semasa SRL mengundang kecaman ramai penonton.


Sumber: Instagram Salamiah Jalani

No comments