Bapa pukul anak sampai lebam seluruh badan kerana nakal dan tak mendengar kata


Kesan lebam di muka seorang murid lelaki dan keadaannya yang lesu dan batuk terjawab selepas dia memberitahu kepada guru tadika bahawa dia telah dipukul oleh bapanya. 

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, perbuatan lelaki berusia 35 tahun itu terbongkar selepas guru tadika sekolah anaknya membuat laporan polis. 

Menurutnya, guru terbabit mendapati anak muridnya itu lesu, batuk dan terdapat kesan lebam di muka ketika hadir ke tadika semalam. 

Guru itu kemudian membuat pemeriksaan dan mendapati kesan lebam di belakang badan, tangan, muka dan punggung. 

Selepas ditanya, mangsa memberitahu dia telah dipukul oleh bapanya dengan penyangkut Baju pada Rabu lalu. 

"Bimbang dengan keadaan mangsa, guru itu kemudian membawa muridnya ke Hospital Kulim untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan polis. 

"Susulan itu, polis kemudian menahan bapa magnsa pada jam 5.45 petang semalam untuk tindakan selanjutnya," katanya. 

Siasatan awal mendapati, suspek mengaku telah memukul mangsa menggunakan penyangkut baju plastik kerana tertekan dengan perangai mangsa yang nakal dan tidak mahu mendengar kata, ditambah pula isterinya sedang sarat mengandung.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis, sementara anaknya kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Sumber: Harian Metro

No comments