Pasang khemah kahwin sehingga menghalang lalu lintas boleh didenda RM1,000


Memasang khemah di depan rumah di atas jalan raya di kawasan perumahan adalah perkara biasa yang berlaku di negara ini. Namun, tidak ramai yang tahu bahawa perbuatan itu sebenarnya boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Ini kerana, tindakan memasang khemah di atas jalan raya perumahan tidak kiralah untuk apa jua jenis majlis sekalipun telah menghalang lalu lintas para penduduk lain. 

Di bawah Seksyen 46(1)(a) Akta 133 Jalan, Parit dan Bangunan 1974, seseorang yang melakukan kesalahan jika mendirikan atau membuat sebarang binaan atau halangan di kawasan awam boleh dikenakan denda RM500 untuk kesalahan kali pertama dan RM1,000 untuk kesalahan seterusnya sekiranya didapati bersalah. 

Jika ada jiran yang membuat aduan, pihak penganjur majlis usahlah hairan dengan kehadiran pihak penguatkuasa dari PBT yang mengambil tindakan berdasarkan aduan yang dibuat oleh pengadu. 

Tetapi kejadian seperti ini amat jarang berlaku kerana ramai yang enggan mencetuskan pergaduhan sesama jiran dan terpaksa pejamkan mata agar keharmonian terjaga walaupun tindakan jiran memasang khemah itu sebenarnya telah mendatangkan kesukaran kepada penduduk sekitar. 

Sebaik-baiknya jika ada yang ingin berbuat demikian, maklumkan dua minggu lebih awal kepada jiran di kawasan sekitar dalam group WhatsApp atau tampal notis di jalan masuk ke lorong rumah sebagai pemberitahuan awal. 

Begitu juga dengan para tetamu perlu diingatkan untuk tidak meletakkan kenderaan di hadapan rumah penduduk di kawasan tersebut. Pihak penganjur majlis perlu merancang tempat yang sesuai untuk dijadikan sebagai parkir agar tidak menyusahkan jiran-jiran lain. 

Bagi majlis yang menerima kehadiran ramai tetamu, seelok-eloknya majlis itu dibuat di dewan serbaguna atau yang sewaktu dengannya.

Sumber: PanduLaju

No comments