Lelaki minum alkohol, minyak masak & pelbagai jenis cecair untuk raih perhatian netizen, mati selepas 3 bulan kemudian
Seorang lelaki dari China yang berimpian menjadi selebriti online dilaporkan meninggal dunia selepas membuat rakaman dirinya minum alkohol dan pelbagai jenis cecair lain setiap hari selama tiga bulan.
Mangsa yang dikenali sebagai Chu, 29, membuat rakaman siaran langsungnya pada 31 Disember lalu menerusi aplikasi Liaoliao, meminum alkohol di sebuah pasar raya di Dalian, wilayah Liaoning.
Menurut seorang individu yang mendakwa dirinya rakan kepada mangsa berkata, "Dia meninggal bukan sebab dia minum pada hari kejadian, tetapi kerana dia melakukan tabiat itu selama tiga bulan.
"Dia minum bir dan pelbagai lagi cecair lain tanpa berehat setiap hari," katanya.
Chu kerap membuat siaran langsung melalui biliknya, sambil berinteraksi dengan penonton.
Menurut rakannya lagi, selain alkohol, Chu juga pernah minum minyak masak untuk memuaskan hati penontonnya dengan harapan mendapat bayaran wang daripada mereka.
"Dalam satu klip video, dia duduk dan memaklumkan kepada penonton bahawa dia tidak sanggup lagi melakukannya. Namun penonton tetap memaksa dia untuk meneruskan.
"Chu berjaya meraih sebanyak 500 yuan (RM303) setiap hari atas usahanya itu," katanya.
Laporan bagaimanapun tidak mendedahkan punca kematian Chu tetapi ada mengatakan lelaki itu demam ketika menaiki teksi pulang ke rumahnya pada hari sambutan tahun baru selepas melakukan siaran langsung minum pelbagai cecair di pasar raya.
Pemandu teksi yang bimbang melihat keadaannya terus menghubungi polis dan mangsa dikejarkan ke hospital di mana doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia.
Chu bukanlah individu pertama yang mati ketika membuat siaran langsung di media sosial. Awal Februari ini, seorang lelaki di Shaoxing, wilayah Zhejiang maut ketika cuba membuat penontonnya berasa kagum dengan melompat dari jambatan ke dalam sungai.
Pada 2017, seorang lelaki muda juga maut ketika merakam gambar selfie di menara tertinggi di Hunan bagi memenangi wang pertaruhan sebanyak 100,000 yuan (RM60,720).
Sumber: South China Morning Post
Post a Comment