'Kami pun hairan kenapa mereka tiba-tiba mandi di sana' - 3 beradik lemas di kolam ikan terbiar


Tiga kanak-kanak lelaki yang merupakan adik beradik lemas ketika mandi di sebuah kolam ikan yang terbiar di Kampung Bintang Mas, Beluran, Sabah, semalam, lapor Harian Metro

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2 petang itu, tiga beradik berkenaan masing-masing berusia antara 6 hingga 10 tahun, bersama dengan beberapa rakan mereka mandi di kolam ikan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumah mereka. 

Menurut bapa saudara mangsa, Muslimin Mohd Yahya, 32, berkata, kanak-kanak itu sebenarnya tidak pernah mandi di kolam tersebut yang sudah lama terbiar dan bersemak. 

"Kami pun hairan kenapa mereka tiba-tiba mandi di sana. Ibu bapanya juga tidak tahu yang mereka mandi bersama rakan dan tiba-tiba seorang rakan berlari ke rumah memaklumkan kepada bapa mangsa bahawa ketiga-tiga anaknya lemas," katanya kepada Harian Metro

Sebaik saja tiba di lokasi kejadian, si bapa mendapati ketiga-tiga anaknya sudah terapung di kolam tersebut dan dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid. 

Bagaimanapun, ketiga-tiganya kemudian disahkan telah meninggal dunia. 

Jenazah ketiga-tiga beradik itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Pangiran, Sungai Sapi. 

No comments