Warga emas sanggup panjat dinding untuk elak ditangkap khalwat
Seorang lelaki warga emas berusia 73 tahun ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan seorang wanita berusia 40-an di sebuah rumah di Kota Bharu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK), Mohd Fadzuli Mohd Zain berkata, Ops Banteras yang dilakukan untuk mencegah maksiat sempena Haria Malaysia pada malam kelmarin telah menahan pasangan berkenaan pada jam 11.45 malam.
Pada awalnya, pasukan penguatkuasa menyerbu rumah tersebut untuk membuat pemeriksaan. Wanita terbabit kemudian membuka pintu dan pemeriksaan mendapati warga emas berkenaan memanjat siling rumah setinggi lebih satu meter untuk mengelakkan dirinya ditahan.
Ketika disoal siasat, lelaki itu memberikan alasan bahawa dia datang ke rumah wanita itu untuk mengutip sewa rumah. Pasangan itu kemudian ditahan untuk siasatan lanjut.
Operasi kemudian dilanjutkan ke hotel di bandar itu yang berjaya menahan lima lagi individu berusia 20-an, termasuk dua pasangan penuntut sebuah kolej yang berada di dalam sebuah bilik pada jam 5.10 pagi.
"Dua pasangan yang juga penuntut sebuah kolej mendakwa mereka menginap di hotel bajet itu untuk membuat tugasan berkumpulan yang diberikan oleh pensyarah," katanya.
Pihak berkuasa sebelum itu terpaksa menunggu lebih 30 minit untuk pasangan berkenaan membuka pintu bilik.
Kesemua mereka ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 50 Enakmen Kanun Jenayah Syariah Bil (1) 2019.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment