Tanaman hiasan dirosakkan pengunjung Hari Kemerdekaan, DBKL kata mereka rugi RM700,000
Sehari selepas perarakan Hari Kemerdekaan ke 65 berlangsung, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Facebooknya meluahkan rasa kecewa terhadap pengunjung yang didapati sengaja merosakkan tanaman hiasan.
Bagaimanapun, luahan "Korang dah kenapa?" itu diselar oleh netizen yang menuding jari terhadap DBKL semula yang dikatakan tidak melakukan persediaan awal, sedangkan sambutan hari bersejarah itu kerap diadakan setiap tahun.
"Dah tahu area tu akan jadi tempat orang tengok perarakan, tak payahlah tanam semua tanaman hiasan tu. Dah bertahun ada perbarisan di sana. DBKL la yang kena fikir prevention," kata netizen.
Dalam kenyataan terkini DBKL yang disiarkan Sinar Harian, Datuk Bandarnya, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, pihaknya mengalami kerugian sebanyak RM700,000 disebabkan kerosakan tanaman hiasan itu berpunca dari jumlah pengunjung yang luar biasa hadir menyaksikan perarakan.
Selain kerosakan tanaman hiasan, sampah sarap seperti botol minuman, plastik bungkusan makanan turut banyak dibuang merata di jalanan dan kawasan landskap.
"Kita sedang mencari jalan untuk menguruskan perkara ini, ia merupakan cabaran yang perlu kita tangani. Perkara ini menjadi pengajaran kepada DBKL," katanya.
Susulan kejadian yang tidak dijangkakan itu, DBKL dilaporkan akan membuat mesyurat post mortem bagi membincangkan dari segi persiapan, pengendalian untuk membantu Kementerian Komunikasi dan Multimedia menguruskan Hari Kemerdekaan Malaysia.
Post a Comment