Mahkamah arahkan influencer bayar saman RM100,000 kepada mangsa 'body shaming'
Menyedari kerosakan yang boleh berlaku melalui perbuatan "body shaming" atau ejekan tubuh dan buli siber, Mahkamah Tinggi Johor Bahru baru-baru ini menganugerahkan RM100,000 kepada seorang usahawan yang menerima kritikan itu di Facebook.
Dalam penghakimannya, pesuruhjaya kehakiman Shamsulbahri Ibrahim berkata RM100,000 itu adalah pampasan yang munasabah memandangkan "pilihan perkataan yang dikeluarkan oleh defendan, yang bukan sahaja difitnah tetapi juga dibuli siber dan ejekan tubuh terhadap plaintif".
Dia juga mengarahkan defendan supaya menyiarkan pernyataan permohonan maaf di semua akaun Facebooknya dan mengekalkan kenyataan itu selama sekurang-kurangnya enam bulan dari tarikh penghakiman.
“Pada pandangan saya jumlah di atas adalah mesej kepada orang ramai khususnya kepada masyarakat siber agar menjaga adab dan sikap ketika menggunakan media massa yang menjadi medium komunikasi penting masa kini.
“Tambahan pula, tidak kira betapa tidak bersetuju dengan pandangan orang lain, perbuatan memfitnah, membuli dan mengaibkan orang lain adalah perkara yang harus dielakkan,” katanya.
Penghakiman itu disampaikan di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 30 Mei, namun penghakiman bertulis itu disiarkan di laman web e-Kehakiman minggu ini.
Plaintif, Suharnizan Mohd Sidek, memfailkan saman terhadap defendan, Noorazira Pissal, yang merupakan duta produk pelangsingan dan pemutihan kulit, kerana memfitnahnya dalam siaran Facebook Live pada 8 Ogos 2020.
Mahkamah mendengar bahawa defendan telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah selepas plaintif meninggalkan komen di "Facebook Livenya" mempromosikan produk pelangsingannya semasa demonstrasi masakan.
"Live masak, live makan-makan, letak produk kurus, boleh kurus ke?" soal plaintif.
Sebagai tindak balas, defendan telah melakukan kecaman lisan selama lapan minit, di mana dia menghina plaintif, termasuk mengejek bentuk badan dan berat badannya.
Defendan turut berkongsi gambar plaintif dan anak-anaknya serta mengenal pasti tempat kerjanya.
Defendan telah memadamkan posting, namun ia disiarkan semula oleh di laman web Makcik Bawang Channel, Makcik Kiah Channel;, Awatt Syeikk Chaneel dan Surat Khabor Channel pada 9 April 2020.
Pesuruhjaya kehakiman berkata meskipun defendan telah mengeluarkan semua postingnya, namun dia tidak berusaha untuk meminta pihak ketiga membuang siaran semula itu.
Tambahnya, defendan, duta jenama produk pelangsingan Klubna Laleh dan produk pemutihan kulit Miruku White, juga mempunyai lebih 700,000 pengikut di Facebook.
Sumber: Malaysia Kini
Post a Comment