'Dalam sel Najib, suis pun tiada, mandi guna air sejuk' - Sumber
Sejak bekas perdana menteri Najib Razak dijatuhkan hukuman penjara 12 tahun, banyak spekulasi yang timbul mengenainya terutama.
Di media sosial, ada yang mendakwa bilik bagi banduan bertaraf VIP adalah jauh berbeza dengan banduan biasa dan pelbagai gambar contoh bilik penjara VIP tular di serata platform media sosial.
Ditambah pula dengan dakwaan nama Ahli Parlimen Pekan itu tiada dalam senarai nama banduan yang ditempatkan di Penjara Kajang.
Terbaru, dakwaan Najib tiada di penjara Kajang juga mengundang pelbagai reaksi netizen. Menurut mesej yang tersebar di aplikasi WhatsApp mendakwa, Najib 'ditahan' di rumah pegawai penjara senior.
Bagaimanapun, Jabatan Penjara Malaysia hanya sekadar mengeluarkan kenyataan penafian yang ringkas mengenai dua dakwaan itu dan tidak berminat untuk mengulas dengan lebih lanjut.
Sementara itu, bekas majistret, Mohd Firdaus Ramlan yang ditemu bual media menjelaskan, penjara di Malaysia sememangnya tidak menyediakan bilik tahanan atau penjara VIP untuk golongan banduan VIP termasuklah pesalah rasuah.
Mohd Firdaus yang juga merupakan bekas banduan atas kesalahan rasuah di Penjara Kajang berkata, semua banduan dilayan samara rata baik dari segi penjagaan dan pemakanan.
Mengikut pengalamannya, dia hanya diasingkan selama 14 hari yang pertama sebelum ditempatkan bersama banduan-banduan lain.
"Hanya ada satu tilam nipis dan dibekalkan dengan selimut. Dari segi makanan pula, semua sama. Sebab dimasak di dewan makan penjara yang sama oleh banduan yang terpilih untuk bekerja di dapur," katanya memetik laporan dari Sinar Harian.
Portal Utusan Malaysia hari ini juga melaporkan, sumbernya memaklumkan tiada layanan istimewa untuk Najib dan hanya ditempatkan di sel pengasingan atas faktor keselamatan sebagai banduan berprofil tinggi.
"Sebagai seorang bekas pemimpin besar negara, sudah pasti kawalan akan diperketatkan bagi memastikan beliau berada dalam jagaan selamat di bawah Jabatan Penjara.
"Makanan yang disediakan kepada Najib juga mengikut skala diet yang sama seperti banduan lain dengan kekerapan biasanya lima kali sehari.
"Najib boleh membuat senaman dan rekreasi fizikal harian dengan syarat mengikut tatatertib keselamatan yang ditetapkan," kata sumber itu.
Seorang lagi sumber rapat dengan Najib berkata, Ahli Parlimen Pekan itu ditempatkan di sel pengasingannya yang hanya menggunakan kipas dan mandi menggunakan air sejuk.
"Beliau ada alahan kulit, kelmarin di mahkamah nampak bahagian leher Najib kemerah-merahan akibat alahan kulit selain badan susut sedikit.
"Dalam sel Najib, suis pun tiada. Najib ada alahan, kalau tidur boleh berhenti bernafas. Jadi kena pakai satu mesin. Malah mesin itu pun kena tarik wayar," kata sumber itu.
Jelasnya lagi, Najib tidak diberi doktor khas dan hanya bergantung kepada doktor yang ditugaskan kepada semua banduan.
Najib hanya dibenarkan menggunakan buku dan bahan bertulis yang diterima atau diperoleh melalui pegawai penjara dengan syarat mendapat kelulusan pegawai yang bertanggungjawab terhadapnya.
Sumber: Sinar Harian, MalaysiaKini
Post a Comment