Terima ancaman bom, pesawat komersil Singapura diiringi 2 jet pejuang



28 September, pihak berkuasa Singapura menerima maklumat mengenai ancaman bom dalam pesawat Singapore Airlines SQ33, yang berlepas dari San Francisco ke Singapura. 


Seorang penumpang didakwa telah menyerang kru kabin dan mendakwa bagasinya mengandungi bom. Walaupun suspek telah ditahan, penerbangan tetap diteruskan ke destinasi (Lapangan Terbang Changi) sebelum diiringi oleh dua jet pejuang F-16C/D Tentera Udara Singapura. 


Bagaimanapun, pihak berkuasa mengesahkan ancaman bom yang diterima itu adalah palsu.


26 September 10.05 malam (Pacific Daylight Time) / 27 September, 1.05 petang (waktu Singapura)


Pesawat SQ33 berlepas dari San Francisco pada jam 10.05 malam Isnin untuk memulakan penerbangan yang mengambil masa selama 16 jam ke Singapura. Pesawat Airbus A350-941 berkenaan membawa seramai 253 penumpang. 


28 September, 2.40 pagi (waktu Singapura)


Selepas 12 jam penerbangan, Polis Singapura dimaklumkan mengenai ancaman bom dalam pesawat berkenaan. Singapore Airlines diberitahu, ada penumpang telah bertindak menyerang seorang pramugari. Suspek berusia 37 tahun itu juga mendakwa bagasinya mengandungi bom menyebabkan dia terus ditahan. 


28 September, 4.30 pagi (waktu Singapura)


Flightradar24 menunjukkan, pesawat SQ33 melakukan beberapa pusingan di kawasan Laut China Selatan sebelum meneruskan perjalanan. 


28 September, 5.42 pagi


Pesawat SQ33 membuat pusing di Pulau Batam.


28 September, 5.51 pagi


Pesawat SQ33 yang diiringi oleh dua jet pejuang F16C/D Tentera Udara Singapura,  selamat mendarat di Lapangan Terbang Changi dan diarahkan melakukan pemeriksaan keselamatan dan para penumpang diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. 


Pasukan dari Kumpulan Pertahanan Kimia, Biologi, Radiologi dan Letupan Tentera Singapur dan Polis Lapangan Terbang melakukan pemeriksaan sebelum mengesahkan ancaman itu adalah palsu. 


Suspek telah ditahan kerana membuat ancaman palsu dan disyaki mengambil dadah terkawal. 


29 September


Suspek didakwa melakukan kesalahan menggunakan kata-kata ugutan yang menimbulkan kegusaran di kalangan penumpang. 


Siasatan awal mendapati, suspek menjerit bahawa terdapat bom di dalam pesawat. Suspek juga mengambil bagasi penumpang lain dari tempat penyimpanan bagasi dan menyerang salah seorang kru kabin yang cuba campur tangan dan menahannya. 


Menurut siasatan Biro Narkotik Pusat, keputusan ujian air kencing lelaki itu juga didapati positif dadah terkawal.


Sumber: Channel News Asia

No comments