'Mangsa mengetahui aktiviti suaminya' - Peselisihan ahli sindiket dadah punca ejen produk kosmetik dilarikan, suami mangsa ditahan
Polis telah menahan tiga individu termasuk suami kepada ejen produk kosmetik yang dilarikan sekumpulan lelaki dari kediamannya di Wakaf Bharu, kelmarin, untuk membantu siasatan.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, pihaknya percaya suami kepada mangsa terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah.
Mangsa dipercayai dilarikan sekumpulan lelaki terbabit berpunca dari perselisihan yang berlaku di antara ahli sindiket dadah.
Polis juga telah memohon bantuan dari pihak berkuasa Thailand untuk menyelamatkan mangsa.
"Polis juga percaya mangsa mengetahui aktiviti yang dilakukan suaminya, selain mengenali suspek yang melarikannya kelmarin," katanya.
Semalam, ibu kepada mangsa mendakwa ada ternampak sebuah motosikal lalu lalang di hadapan rumah sebelum didatangi lima individu yang bertanya mengenai mangsa.
Sebaik saja mangsa datang ke pintu utama kediamannya, mangsa terus ditarik dan diheret masuk ke dalam kereta suspek jenis Toyota Vios.
Bapa mangsa sempat bergelut dengan suspek untuk menyelamatkan anaknya, tetapi terpaksa mengalah apabila salah seorang suspek mengeluarkan pistol dengan kata-kata ugutan.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment