'Saya selak kanvas & tengok mereka berdua tak sedarkan diri' - Rakan akui rasa tak sedap hati selepas hantar mangsa bertemu dengan teman lelakinya



"Tak sedap hati," demikian kata remaja perempuan, rakan kepada mangsa berusia 16 tahun yang ditemui tidak bernyawa bersama seorang lelaki berusia 20 tahun yang dipercayai teman lelakinya di dalam sebuah kereta Perodua Kancil di perkarangan kompleks Jawatankuasa Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Ayer Limau, Melaka, pagi tadi.


Baca: Pasangan kekasih muda ditemui maut dalam kereta diselubungi kanvas, polis siasat spekulasi cinta tidak direstui


Damia, 16, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan rakannya itu ketika mereka keluar bersama untuk bersiar-siar sebelum mangsa meminta dia menghantarnya ke JAPERUN petang semalam untuk bertemu dengan lelaki terbabit.


Damia mengakui dia berasa tidak sedap hati dan curiga selepas menghantar mangsa. Perasaan curiganya itu semakin bertambah apabila kakak mangsa menghubunginya dan memaklumkan adiknya tidak pulang ke rumah sejak semalam. 


"Saya bergegas ke JAPERUN untuk mencarinya dan sebaik tiba, saya mendapati kereta itu masih berada di lokasi tetapi ditutup dengan kanvas. 


"Saya segera menyelak kanvas itu dan melihat kedua-dua mereka tidak sedarkan diri lalu menghubungi kakak mangsa," katanya. 


Sementara itu bapa saudara kepada remaja lelaki itu pula berkata, mangsa adalah anak sulung kakaknya daripada enam beradik dan seorang pendiam tetapi mempunyai ramai kawan. 


Selain itu, mangsa adalah bekas penuntut sebuah akademi laut di Kelantan dan bakal bekerja dalam bidang perkapalan. 


"Dalam dua minggu lagi dia bakal bekerja kapal mengikut jejak bapanya yang juga bekerja di bidang yang sama. 


"Ibunya beritahu sebelum kejadian iaitu selepas Asar, arwah ada meminta izin menggunakan kereta bapanya untuk pergi ke pantai. Tak sangka ini yang berlaku," katanya. 


Sumber: Harian Metro

No comments