'Bertanding di Parlimen mana, suka hati saya lah, saya Timbalan Presiden UMNO' - Tok Mat Hasan
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, menafikan dakwaan akan bertanding di kerusi Rembau pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan menegaskan kedudukan calon dan kerusi masih belum dimuktamadkan.
"Saya belum cakap pasal kerusi lagi dan Rembau pun, saya hanya bercakap soal kesiapsiagaan jentera parti. Saya hanya beritahu akan bertanding di peringkat Parlimen dan tiada nyatakan kerusi di mana pun. Fokus kami bincang soal jentera dan belum lagi membabitkan soal calon dan kerusi mana.
"Saya tidak pernah cakap nak bertanding di mana-mana, cuma saya beritahu sudah sampai masanya untuk bertanding di peringkat Parlimen, di Parlimen mana suka hati saya lah, saya Timbalan Presiden," katanya memetik laporan Harian Metro, Sabtu, 10 September 2022.
Media sebelum ini melaporkan Mohamad Hassan akan bertanding di Parlimen Rembau dan penyandang kerusi itu, Khairy Jamaluddin, mengesahkan tidak akan bertanding di tempat yang sama pada PRU15.
Khairy berkata, dia membuat keputusan itu selepas diarahkan mengosongkan kerusi itu oleh Mohamad yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau yang mahu bertanding di Parlimen Rembau, selain mempertahankan kerusi DUN Rantau yang disandangnya sejak 2004.
Mohamad yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, BN/UMNO tidak akan mengamalkan dasar menetapkan calon tertentu perlu kekal di kerusi masing-masing.
"Kita akan lihat siapa yang dianggap layak dan boleh dipertimbangkan untuk kita jadikan calon. Kriteria utama adalah hendak menang dan saya tiada isu berkaitan hubungan peribadi atau agenda tertentu dan sebagainya.
"Keutamaan saya sebagai Pengarah Pilihan Raya adalah hendak menang. Bila nak menang, kita kena cari kaedah nak menang walaupun calon itu dah lama di situ, tapi kalau dia boleh menang, kenapa tidak?" katanya.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment