'Untung jualan RM1 juta, dapat hadiah Lamborghini RM1.5 juta, baik betul company tu?!' - Netizen pertikai laporan influencer TikTok dapat hadiah kereta mewah
Influencer media sosial, Siti Jamumall, 23, mengakui dirinya terkejut sehingga tangannya menggeletar ketika menerima hadiah ulangtahun kelahirannya, kereta Lamborghini Huracan bernilai RM1.5 juta dari syarikat menjual produk berkonsepkan pendidikan Islam.
"Alhamdulillah, syukur kepada Allah. Sejujurnya saya tidak pernah menyangka malah jauh sekali terfikir akan mendapat hadiah mewah ini. Sebak dan tak terkata dibuatnya.
"Terima kasih kepada yang membuat kejutan ini pada sambutan hari jadi saya semalam. Ini akan menjadi kenangan dan sesuatu yang sangat berharga dalam diri," katanya.
Siti Jamumall atau nama sebenar Siti Suriani Wahiddin berkata, syarikat berkenaan memberi hadiah kereta mewah itu berdasarkan pencapaiannya yang berjaya mencatatkan jualan produk syarikat itu lebih RM1 juta yang dibuat secara langsung di platform TikTok baru-baru ini.
Bagaimanapun netizen mendakwa itu semua adalah marketing dan enggan percaya kerana sebelum ini mereka pernah ditipu berhubung kes viral duit palsu yang membabitkan influencer terbabit.
Malah, ada yang mempertikaikan pemberian hadiah itu yang dikatakan tidak kena dengan hasil jualan RM1 juta.
"Kita boleh tipu semua orang dalam satu masa. Tetapi kita tidak boleh menipu semua orang dalam setiap masa," kata Bibi Siti Nurba.
"Ini yang kes viral duit palsu, semua content saja. Netizen dah tak percaya," kata Wak.
"Untung jualan satu juta, dapat hadiah kereta mewah RM1.5 juta. Baik betul company tersebut," kata Jaja.
Dalam pada itu, netizen tidak menolak kemungkinan bahawa strategi marketing itu dilakukan bagi menarik minat orang ramai untuk menjadi ejen syarikat berkenaan.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment