(Video) Pembantu rumah maut didera majikan kerana ambil makanan dari anaknya


Seorang pembantu rumah berusia 16 tahun mati akibat didera oleh majikannya yang tidak berhati perut, mencetuskan kemarahan orang ramai di Pakistan. 

Mangsa, Uzma Bibi, dipercayai kerap diseksa semenjak bekerja dan tinggal di rumah majikannya, lapan bulan lalu. 

Difahamkan, mangsa jarang diberi makan sehingga menyebabkan badannya kurus akibat kekurangan zat. Selain itu, Uzma kerap dibelasah sehingga mengalami keretakan tulang. 

Keadaan menjadi semakin buruk apabila majikan menghentak kepala Uzma dengan menggunakan objek tajam kerana berang mangsa mengambil sedikit makanan dari pinggan anaknya.


Akibat hentakan itu, Uzma tidak sedarkan diri. Majikan pula enggan menghantar gadis itu ke hospital, sebaliknya dia menggunakan renjatan elektrik untuk menghidupkan mangsa semula tetap gagal berbuat demikian. Mayatnya kemudian dibuang ke dalam longkang. 

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan tiga suspek wanita untuk membantu siasatan. 

Ketika disoal siasat, ketiga-tiga suspek mengaku melakukan penderaan terhadap mangsa. 

Video yang menunjukkan Uzma dalam keadaan tidak bermaya dipaksa makan turut tersebar di media sosial. 


Netizen kini mendesak Perdana Menteri Imran Khan campur tangan dalam kes itu dan mendesak ketiga-tiga suspek dijatuhkan hukuman mati.

Sumber: Sinar Harian

No comments