'Saya tidak gila untuk aibkan orang macam tu sekali' - Cikgu nafi tularkan video anak murid


Guru yang merakam video muridnya dalam video viral 'bapa pandai masak air ketum', Cikgu S, 40, tampil memberi penjelasan penuh sekali gus menafikan dirinya menyebarkan video tersebut sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. 

"Saya tidak gila untuk aibkan orang macam tu sekali. Demi Allah saya cuma kongsikan rakaman video itu hanya kepada ibu murid terbabit saja sebagai guru kelas yang prihatin untuk memberitahu perihal anaknya dalam kelas," katanya. 

Menurut Cikgu S, mungkin salah dirinya juga merakam video itu tetapi dia menegaskan bahawa bukan dia yang menyebarkan video tersebut. 

"Mungkin memang salah saya sebab rakam video itu, tetapi bukan saya tularkan. Jadi, saya mohon hentikanlah menular video itu dan mengecam dengan pelbagai tuduhan palsu kerana kejadian sebenar tidak seperti apa difikirkan," katanya. 

Cikgu S juga enggan memanjangkan hal itu kerana apa yang berlaku hanyalah salah faham dan hal itu sudah diselesaikan secara baik di antara semua pihak yang terlibat. 

"Segala-galanya sudah diselesaikan secara baik pagi tadi apabila saya bertemu dengan ibu bapa murid itu dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). 

"Saya sudah membuat laporan bertulis dan ditandatangani kedua-dua ibu bapa murid itu, malah mereka terbuka tidak mahu membesarkan perkara ini," katanya. 

Selain itu, Cikgu S juga enggan membuat laporan polis terhadap tuduhan palsu yang dilemparkan terhadapnya kerana tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. 

Jelasnya, video itu dirakam ketika sesi pendidikan kesihatan tahun satu di sekolah rendah di utara tanah air, pagi semalam, yang menyentuh topik mengenai peranan ahli keluarga. 

"Ada sesi perbincangan dan beberapa soal jawab bersama saya dan murid antaranya saya bertanya, selain mak siapa lagi dalam ahli keluarga murid saya yang pandai masak? 

"Saya tergelak dan tidak menyangka murid yang tular ini teruja dan terus angkat tangan menjawab bapanya masak air ketum tanpa sedikit pun rasa bersalah kerana kanak-kanak ini naif dan dia tidak mengetahui ketum itu bukan sesuatu yang elok," katanya. 

Cikgu S sekali lagi bertanyakan soalan itu dan merakam video lalu dikongsikan dengan ibu murid terbabit melalui WhatsApp. 

Seperti kenyataannya sebelum ini, murid lain yang turut tertawa dalam video itu katanya bukan mentertawakan jawapan yang diberikan murid itu. Sebaliknya mereka geli hati melihat gelagat Cikgu S yang selama ini sukar ketawa sehingga hampir terkeluar air mata. 

Malah, Cikgu S yakin bahawa murid dalam kelas itu pun tidak tahu apa itu ketum. 

Namun dia terperanjat apabila ibu murid terbabit menghubunginya pada malam tadi memaklumkan video itu sudah tersebar. 

"Penularan video itu menjadi tanda tanya antara saya dan ibu murid terbabit kerana saya hanya kongsikan kepadanya, malah dia mengaku tidak menularkan video terbabit. 

"Saya amat kesal dengan individu yang menularkan video itu tanpa usul periksa dan tidak meminta kebenaran serta meletakkan keterangan bukan-bukan yang memfitnah, sedangkan niat asal saya mahu ibu bapa murid itu sedar perbuatan itu (jika dilakukan) satu kesalahan dan saya ambil berat tidak mahu anak murid saya yang masih kecil ini rosak. 

"Saya anggap ini cabaran sebagai seorang pendidik dan menjadikan insiden ini sebagai satu pengajaran dan akan lebih berwaspada di masa akan datang," katanya. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN

No comments