Pencetus Kluster Sivagangga didenda RM3,000, penjara 5 bulan
Majistret Mohd Hadi Hakimi Harun menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, mengaku bersalah di atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, Nezar didakwa meninggalkan premis ditetapkan untuk menjalani pengawasan dan pemerhatian apabila berada di Bank Rakyat Jitra pada jam 4.40 petang dan berada di Agro Bank Jitra pada jam 3.58 petang, 14 Julai 2020.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat pula, Nezar berada di Pusat Khidmat Hasil Kubang Pasu, LHDN pada jam 3.35 petang dan berada di Public Bank Jitra pada jam 3 petang, tarikh yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Zabidah Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam dalam proses pertuduhan yang dilakukan di Wad I, Hospital Alor Setar.
Majistret Mohd Hadi kemudian mendapati tertuduh bersalah ke atas semua pertuduhan itu dan didenda RM3,000 dan penjara lima bulan.
Bagaimanapun, hukuman dan denda itu tidak dapat dijalankan buat masa ini kerana Nezar masih dalam proses pemantauan di hospital.
Terdahulu, Nezar ditahan polis pada 23 Julai lalu kerana didapati ingkar arahan kuarantin di rumah selepas pulang dari India pada 13 Julai.
Gambar Nezar yang memakai gelang merah jambu duduk di kedainya turut tular di media sosial, sedangkan dia sepatutnya menjalani perintah kuarantin selama 14 hari.
Disebabkan kedegilannya itu, seramai 45 individu dsahkan positif Covid-19 yang membabitkan kes di Kedah, Perlis dan Pulau Pinang di bawah Kluster Pesakit Bawah Siasatan Sivagangga.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment