'Luka pada badan itu kerana dia jatuh basikal' - Pasangan kekasih kantoi bunuh budak berusia 3 tahun


Dulu pernah ada kes budak berusia tiga tahun jatuh pengsan ketika bermain basikal. Ayah kandungnya kata, budak itu terkena asma. Ayah mahu arwah anaknya cepat-cepat ditanam. 

Ketika imam mandikan budak itu, ada sesuatu yang kelihatan. Polis cepat-cepat dipanggil. Nak tahu apa jadi? 

SUASANA di sebuah hospital di selatan tanah air bertukar kecoh apabila seorang ayah berlari sambil menjerit "Tolong! Tolong! Anak saya pengsan!". 

Budak lelaki itu kemudian terus dibawa ke bilik rawatan. Doktor terus memberikan rawatan kecemasan. 

Semasa dirawat, doktor memaklumkan budak itu sudah tidak bergerak dan kulitnya bertukar warna kelabu yang menandakan budak itu sudah meninggal dunia. 

Kemudian seorang wanita datang bertanyakan doktor berkenaan, "Apa yang berlaku?" 

Doktor memaklumkan kepada perempuan yang dikatakan kawan kepada ayah mangsa bahawa, budak itu telah meninggal dunia. 

"Apa yang berlaku pada budak ini?" soal doktor lagi kerana terdapat kesan luka di badan mangsa yang menimbulkan kehairanan. 

"Saya tak tahu. Budak itu, ayah dia yang jaga," jawab perempuan itu. 

Doktor mahukan kepastian kerana budak itu telah meninggal dunia semasa didukung oleh ayahnya. Doktor terus bergegas berjumpa dengan ayah mangsa dan bertanya perkara sebenarnya yang berlaku. 

Menurut lelaki itu, anaknya mengalami asma dan sukar bernafas ketika dibawa ke hospital. 

"Luka pada badan itu adalah kerana dia jatuh basikal," kata si ayah. 

Doktor menghubungi Unit Forensik untuk melakukan bedah siasat pada mangsa. Ketika dibawa ke hospital, waktu sudah hampir menjelang senja. 

Pada keesokkan harinya, mayat mangsa telah tiada di hospital. Doktor terkejut, apa sebenarnya yang telah terjadi? 

Pegawai Perubatan memaklumkan bahawa mangsa telah dibawa keluar dari hospital atas arahan polis. Ini kerana ayah kandungnya mahu anaknya itu cepat-cepat ditanam. 

Doktor pula bertegas mahu mangsa dibedah siasat terlebih dahulu, lalu menghubungi polis untuk mendapatkan kepastian. 

Urusan pemandian mangsa kemudian diuruskan oleh ayahnya. Ketika jemaah masjid datang ke rumah mangsa, yang kelihatan hanyalah ayah mangsa dan kawan perempuannya yang bersama di hospital. Tiada ahli keluarga dan saudara mara lain, membuatkan jemaah masjid agak kehairanan. 

Mayat mangsa dibaringkan di ruang tamu rumah. Jemaah masjid pun bertanya, "Mana saudara mara yang lain?". 

"Semua busy dan tidak akan datang," jawab si ayah. 

Ibu kandung mangsa dimaklumkan mengenai kejadian itu. Dia sudahpun bercerai dengan suaminya. 

Urusan jagaan mangsa masih belum lagi diputuskan oleh Mahkamah Syariah. Ketika itu, mangsa tinggal bersama ayah kandungnya dan dihantar kepada pengasuh untuk dijaga. 

Ketika mayat mangsa dimandikan, imam masjid terkejut melihat ada banyak kesan luka pada badan mayat. Ada luka di bahagian muka, dada, lengan dan belakang badan. Tiada sebarang soalan ditanya Imam kepada ayah mangsa. Mungkin untuk menghormatinya sebagai ayah kandung mangsa. 

Selepas selesai dimandikan, mangsa dibawa ke kubur untuk ditanam. Ketika itulah polis juga tiba dan memaklumkan bahawa maklumat yang diberi oleh ayah mangsa sebelum ini meragukan dan polis arahkan mayat mangsa tidak perlu ditanam terlebih dahulu. 

Keesokan harinya, doktor pakar forensik melakukan bedah siasat. Keputusan bedah siasat menunjukkan ada lebih 50 kesan kecederaan pada keseluruhan badan mangsa dan punca meninggal dunia bukan disebabkan oleh asma. 

Doktor pakar mengesahkan, "The deceased sustained injuries over the head resulting in skull fracture, subdural haermoorhage and extensive brain swelling which eventually lead to death. 

"The head injury due to blunt force trauma was fatal in nature," katanya. 

Polis kemudian menahan kedua-dua suspek dan didakwa atas kesalahan membunu mangsa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Doktor Pakar Forensik juga menafikan dakwaan suspek kononnya mangsa meninggal dunia akibat asma. 

Kes dibawa ke mahkamah untuk memastikan sama ada mangsa betul-betul dibunuh oleh ayah kandungnya sendiri dan adakah kawan perempuan ayah mangsa juga terlibat dalam membunuh mangsa. 

Dalam perbicaraan, kedua-dua tertuduh menafikan pertuduhan membunuh mangsa. Tertuduh pertama dan tertuduh kedua juga merupakan pasangan kekasih meskipun pada awalnya wanita itu menafikan ada hubungan istimewa. Namun, dia bertegas menafikan dia terlibat membunuh mangsa atas alasan dia tiada bersama dua beranak berkenaan ketika hari kejadian. 

Ibu kandung mangsa memberitahu, mangsa dijaga oleh bekas suami dan kekasihnya. Jadi, keterangan wanita itu mengatakan dia tidak tinggal bersama mangsa adalah bohong. Ini bermaksud, wanita itu sebenarnya tahu apa yang berlaku pada mangsa. 

Ketika ditanya oleh doktor semasa berada di hospital, perempuan itu terus memberikan jawapan "Saya tidak tahu, kena tanya ayah kandung mangsa".

Kenyataan itu sebenarnya menjurus kepada kesimpulan bahawa dia hanya cuba menyalahkan ayah mangsa. Dia tahu ayah mangsa yang membunuh. 

Yang mengejutkan ialah, pakar forensik dapat mengesahkan satu kesan gigitan pada lengan mangsa dikatakan padan dengan gigitan perempuan itu. Ini bermaksud ada sesuatu yang berlaku pada mangsa dilakukan oleh perempuan itu. 

Ayah mangsa juga tidak terlepas dari dikaitkan dengan perbuatan membunuh. Ketika didukung di hospital, anaknya itu sudah meninggal dunia, bukannya pengsan. Tindakan ayah mangsa yang mahu mayat anaknya ditanam secepat meungkin adalah bukti yang kuat untuk dikaitkan. 

Mangsa sebenarnya dibunuh, bukan kerana sebab yang lain. Sekiranya ayah mangsa tidak berasa takut semasa doktor mahu melakukan bedah siasat, ayahnya mungkin tidak akan dikaitkan dengan tuduhan membunuh. 

Bukti keadaan menjurus pada kesimpulan bahawa, ayah mangsa terlibat dalam pembunuhan mangsa, Walaupun cara mangsa dibunuh tidak diketahui secara terperinci, itu tidak bermaksud suspek boleh terlepas. 

Mahkamah merujuk pada kes bunuh yang berlaku di Pulau Dua di Singapura pada 1965 di mana mayat mangsa tidak dijumpai sehingga sekarang dipercayai dibunuh oleh kekasihnya dengan menenggelamkan mangsa di dasar lautan. Suspek dalam kes itu disabitkan bersalah oleh mahkamah. 

Mahkamah memutuskan, "I accordingly find that both accused had failed to raise areasonable doubt in prosecution case for murder. 

"I accordingly convict both of them and sentence them to suffer by hanging".

Kedua-dua tertuduh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati. 

Penghakiman penuh kes boleh dirujuk pada kes Public Prosecutor v Mohd Imran & Anor [2017] MLJU 602 - Mahkamah Tinggi Johor Bahru. 

Sumber: Twitter Sir Kamarul

No comments