Budak 4 tahun maut tertinggalkan 10 jam dalam kereta


Seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia selepas tertinggal di dalam kereta bapanya di tempat kerja, semalam. 

Dalam kejadian yang berlaku di Bukit Makmur, Sungai Lalang, Sungai Petani, pemandu lori itu hanya menyedari anaknya berada di dalam kereta semasa ingin pulang ke rumah pada jam 6.20 petang. 

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa berusia empat tahun dipercayai ditinggalkan dalam kenderaan itu hampir 10 jam dalam keadaan tingkap tertutup dan enjin kereta dimatikan. 

Difahamkan sebelum itu, bapa mangsa yang berusia 30-an itu menghantar kakak mangsa ke SMK Teluk Bayu, pada jam 7.30 pagi dan terus pergi ke tempat kerja. 

Lelaki itu langsung terlupa mengenai anaknya yang sedang tidur di bahagian tempat duduk belakang di mana dia sepatutnya menghantar mangsa ke rumah neneknya di Kampung Bukit, Sungai Pasir sebelum pergi ke tempat kerja. 

Selepas sampai di tempat kerja, lelaki itu melaksanakan kerjanya memandu lori ke beberapa kawasan sebelum pulang ke kilang pada jam 4.30 petang. 

Di kilang, bapa mangsa terus masuk ke kilang dan menguruskan kerja-kerja di dalam bangunan dan ketika mahu pulang, dia ternampak anaknya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang kereta lalu menghubungi talian kecemasan. 

Malangnya, kanak-kanak itu disahkan telah meninggal dunia dan mayatnya dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk dibedah siasat pada pagi ini. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. 

Sumber: Harian Metro

No comments