'Kedai emas banyak kat pekan, nak juga beli dalam FB' - Suri rumah rugi RM16,107 selepas terperdaya dengan iklan emas harga murah


Orang ramai selalu diingatkan untuk berhati-hati apabila membeli barang secara online di media sosial dengan memeriksa latar belakang peniaga agar tidak menjadi mangsa penipuan di kemudian hari. 

Malang nasib seorang suri rumah apabila dia mengalami kerugian sebanyak RM16,107 setelah diperdaya individu yang tidak bertanggungjawab dalam urusan pembelian barang kemas melalui Facebook pada hujung bulan lalu. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 38 tahun itu terdahulu berminat untuk membeli rantai, gelang dan subang selepas membaca satu tawaran di laman sosial itu pada 25 Julai lalu. 

Dia kemudian menghubungi nombor telefon yang tertera pada iklan tersebut dan berurusan dengan seorang lelaki sebelum mula membuat 12 transaksi online pada awal bulan Ogos. 

Bagaimanapun, mangsa mendakwa suspek gagal memberi penjelasan apabila ditanya bila dia boleh mendapat barangan kemas itu pada Sabtu lalu. 

Sejak dari itu, suspek terus menghilangkan diri dan gagal dihubungi. 

Mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Karak, Bentong dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. 

Sumber: Bernama

No comments