Nelayan Vietnam ceroboh & lakukan provokasi, maut terkena tembakan anggota APMM


Seorang nelayan warga Vietnam maut terkena tembakan dari anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan. 

Ketua Polis Kelantan, DCP Shafien Mamat berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.40 malam tadi di 81 batu nautika dari perairan Tok Bali, Pasir Puteh. 

Difahamkan pada ketika itu, anggota APMM sedang melakukan rondaan (Op Kuda Laut) dan telah menahan sebuah bot nelayan asing warga Vietnam yang didapati menceroboh perairan negara. 

Ketika ditahan, berlaku provokasi menyebabkan anggota APPM telah melepaskan tembakan dan terkena badan mangsa yang berusia 30-an terbabit. 

Mayat nelayan Vietnam itu kemudian dibawa ke darat dan akan dibedah siasat di Hospital Tengku Anis, hari ini, manakala baki 12 nelayan asing yang berada di bot berkenaan dibawa ke darat untuk siasatan lanjut. 

Menurut Shafien, tembakan yang dilepaskan oleh anggota APMM berkenaan adalah ketika bertugas dan mempunyai peruntukkan undang-undangnya tersendiri. 

Polis sedang menunggu maklumat lengkap berkaitan kes tersebut dari APMM Kelantan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 39(a) Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan. 

Sementara itu, APMM Kelantan menegaskan insiden itu berlaku berikutan pasukan keselamatan dibaling bom diesel dan dilanggar oleh bot asing berkenaan. 

Pengarah APMM Kelantan, Kapten Maritim, Muhd Nor Syam Asmawie Yaacob berkata, anggota terbabit terpaksa melepaskan tembakan ke arah satu daripada dua bot nelayan Vietnam yang juga turut membaling getah yang dibakar ke arah bot APMM bagi tujuan membakar bot pihak berkuasa.

"Walaupun pihak APMM telah melepaskan tembakan amaran ke udara, nelayan asing terbabit enggan menyerah diri. Sebaliknya bertindak lebih agresif dengan merempuh bot APMM, mengakibatkan seorang anggota melepaskan tembakan ke arah bot bagi mempertahankan diri," katanya. 

Sebelum kejadian itu, pemantauan radar pihak berkuasa negara mengesan kemasukan dua bot asing itu yang membawa 19 nelayan termasuk tekong untuk menangkap ikan secara haram di perairan negara pada jam 3.30 petang semalam. 

Sepasukan anggota APMM kemudian dihantar bagi mengekori dan menahan dua bot terbabit. Tembakan dilepaskan dan nelayan asing berkenaan menyerah diri. Bot serta hasil tangkapan bernilai kira-kira RM2 juta dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim di Tok Bali untuk disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6 juta ke atas tekong dan RM600,000 bagi awak-awak. 

Selain itu, mereka juga boleh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 yang membawa kepada denda RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta boleh dikenakan sebatan sehingga enam sebatan. 

Kes itu juga akan disiasat mengikut Seksyen 307 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan menghalang tugas penjawat awam. 

Sumber: Bernama

No comments