Honda Malaysia panggil semula 23,476 kenderaan untuk ganti inflator beg udara Takata secara percuma


Honda Malaysia hari ini mengumumkan panggilan semula bagi sejumlah 23,476 unit kenderaan keluarannya yang dipanggil sebelum ini untuk penggantian inflator beg udara Takata bahagian hadapan iaitu pemandu dan penumpang.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata, pemilik terbabit akan menerima surat makluman daripada Honda Malaysia berserta butiran panggilan semula serta stok yang ada.

Model bagi penggantian semula inflator bahagian pemandu adalah Civic (model tahun 2006-2007 dan 2009-2011), CR-V (2007-2008 dan 2010-2011), Stream (2010 dan 2012), Insight (2011-2012), City (2009-2013) serta Jazz (2012-2013).

Penggantian bahagian penumpang hadapan pula membabitkan Accord (model tahun 2003, 2005-2006, 2008-2009 dan 2011-2012), Stream (2003-2005), CR-V (2002-2009), Jazz (2003-2007 dan 2009-2012), City (2003-2009) serta Civic (2003-2011).

“Kami sekali lagi memohon maaf di atas kesukaran yang dihadapi pelanggan. Oleh kerana keselamatan pelanggan sentiasa menjadi keutamaan Honda, syarikat ini percaya usaha penggantian ini amat wajar sebagai langkah awal.

"Oleh itu, kami menggesa pelanggan terbabit untuk tampil bagi membolehkan inflator beg udara Takata itu digantikan dengan seberapa segera.

“Honda Malaysia juga merayu pelanggan Honda lain yang terbabit tetapi belum membuat penggantian beg udara Takata itu agar tampil dengan seberapa segera. Ini kerana ia boleh menyebabkan tekanan dalaman yang melampau apabila diaktifkan dan menyebabkan kecederaan atau maut.

"Stok penggantian inflator beg udara hadapan untuk 23,476 unit kereta itu akan dijalankan secara berperingkat," kata Honda Malaysia.

Malah, syarikat itu memberi jaminan untuk berusaha sebaik mungkin bagi memastikan kesediaan 100 peratus stok dalam jangka masa singkat.

Usaha penggantian tersebut adalah percuma dan kos itu ditanggung oleh syarikat berkenaan.

“Honda Malaysia mahu menegaskan bahawa kesemua model kenderaan jualan semasanya adalah berdasarkan kawalan ketat dan telus demi keselamatan pelanggan," katanya.

Pemilik kenderaan boleh mendapatkan maklumat status panggilan semula kenderaan mereka menerusi www.honda.com.my atau https://ift.tt/29Byrr0 atau dengan menelefon talian bebas tol 1-800-88-2020. 

Sumber: Bernama

No comments