'Kami cari rezeki, bukan sediakan tempat buat perkara tak elok' - Pengusaha restoran di Kelantan tak setuju kerajaan negeri hadkan waktu berniaga
Baru-baru ini, Kerajaan Negeri Kelantan bercadang mengehadkan waktu berniaga bagi restoran di negeri itu sehingga jam 12 tengah malam bagi mengekang gejala sosial di kalangan remaja, mulai 2020.
Bagaimanapun, ramai pengusaha restoran tidak bersetuju dan menolak alasan kerajaan negeri kononnya operasi restoran melebihi jam 12 tengah malam menjadi faktor utama menyumbang kepada masalah sosial.
Peniaga kuetiau di Kota Bharu, Mohd Nazri Husin, 39, bimbang sekiranya peraturan itu dilaksanakan kelak akan menjejaskan jualan harian peniaga.
Mohd Nazri tidak menafikan soal rezeki adalah ketentuan Allah SWT, tetapi seseorang peniaga mempunyai sasaran harian berdasarkan pelbagai faktor antaranya kos modal dan margin keuntungan.
"Larangan itu tidak sesuai kerana akan menyingkatkan waktu perniagaan. Sedangkan kita tanggung banyak kos termausk membayar gaji pekerja. Semuanya perlu diambil kira.
"Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu, kalau tempoh berniaga disingkatkan, kami khuatir akan mengalami kerugian," katanya.
Tambahnya, kedainya tidak menerima ramai pelanggan semenjak larangan merokok di premis makanan dikuatkuasakan.
Sementara itu peniaga kedai makan, Abdul Rashid Mat Jusoh, 40-an tidak bersetuju dengan cadangan itu dan menegaskan, mereka hanya membuka kedai makanan, bukannya menyediakan tempat untuk membiak remaja bermasalah.
"Saya tak setuju, banyak alternatif lain budak-budak boleh melepak.
"Kalau tutup kedai makan pun mereka boleh lepak tepi jalan, atas wakaf, berlumba motosikal. Sedangkan peniaga hanya mencari rezeki, bukannya sediakan tempat buat perkara tak elok," katanya.
Berbeza pula dengan pengusaha restoran berasakan makanan ketam, MUhammad Syawal Mahmood, 30-an, bersetuju, malah mencadangkan undang-undang itu diperketatkan.
"Bagi saya cadangan ini baik kepada rakyat Kelantan. Kerajaan negeri perlu perketatkan lagi undang-undang yang sedia ada sebab bagi saya, selepas tengah malam ini lebih banyak benda buruk daripada perkara baik.
"Rasanya betullah apa yang kerajaan negeri fikirkan," katanya.
Sumber: MalaysiaKini
LAPORAN BERKAITAN
Post a Comment