Bunuh rakan kerana komplen masakan tak sedap, tertuduh dihukum gantung sampai mati


Seorang pekerja ladang dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah membunuh rakan sekerjanya dua tahun lepas.

Hakim Datuk Hassan Abd Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohamad Rosli Naqur Gani, 37, yang kelihatan tenang semasa hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Hassan dalam penghakimannya berkata pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah melalui keterangan tertuduh.

Mohamad Rosli yang berasal dari Perak didakwa membunuh rakan sekerjanya R. Devadas, 60, pada 17 April 2017 antara 1.50 pagi dan 11.50 pagi di rumah tidak bernombor di Estet Chuan Leng Rubber Estate, Bellenggu Halt, Mentakab dekat sini, selepas rakan sekerjanya itu menegur masakannya yang dikatakan tidak sedap.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, peguam Aedi Tajudin yang mewakili tertuduh dalam rayuannya memaklumkan kepada mahkamah bahawa tertuduh mempunyai empat anak yang masih kecil dan bekerja di estet berkenaan dengan pendapatan hanya RM30 sehari.

"Tertuduh juga menyesal dengan perbuatannya dan telah memohon maaf kepada keluarga mangsa," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How yang mengendalikan pendakwaan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat bagi memberi contoh kepada masyarakat kerana perbuatan tertuduh tidak boleh dimaafkan.

"Tertuduh memukul mangsa pada petang dan malam dengan bongkah kayu serta sabit sehingga menyebabkan tulang rusuknya patah dan mengalami pendarahan," katanya.

Seramai 14 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh, memberi keterangan sepanjang prosiding perbicaraan.

Sumber: Bernama

No comments