'Terpaksa redha...' - Guru terkilan keretanya dicalarkan oleh murid
Kes yang tidak pernah berkesudahan. Saban hari ada saja pelajar yang menganiaya guru kerana tidak berpuas hati dengan teguran atau sebagainya. Sedangkan guru hanya menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberi untuk mendidik pelajarnya.
Perkongsian Cikgu Mohd Fadli Salleh baru-baru ini cukup membuatkan hati terasa sakit dan geram. Pelajar tergamak mencalarkan kereta gurunya dengan gelaran yang tidak sepatutnya.
BARU-baru ini seorang guru perempuan hantarkan aku gambar ini (gambar pertama). Sedih sangat dia rasa bila kereta dicalar sebegitu rupa. Lebih menyedihkan, perbuatan itu dilakukan oleh murid sekolah rendah.
Gambar kedua itu pun kereta seorang guru. Guru disiplin agaknya. Suatu ketika dulu, keretanya disimbah cat hitam angkara amarah dan dendam anak-anak remaja kita.
Gambar ketiga, seorang ustazah digelar Babi dan Bodoh. Bahkan ada pula yang sanggup ambil batu besar untuk memukul guru.
Gambar yang terakhir itu lagi biadab. Guru menegur pelajar tidur atas meja. Apa yang guru tersebut dapat? Dicarut dan ditunjukkan jari tengah.
Kalau kalian diperlakukan sebegini, apa tindakan kalian agaknya? Nak rotan, kuasa hanya pada pengetua dan guru disiplin yang diturunkan kuasa sahaja. Nak buat laporan polis, kesian kat murid sendiri. Akhirnya guru-guru tersebut berlalu dan redha dengan kekecewaan yang amat.
Guru-guru yang selalu dilawan begini biasanya merupakan guru-guru yang terbaik. Inilah guru yang paling mengambil berat tentang pelajar-pelajarnya. Pelajar ponteng, dia kejar. Pelajar membuli, dia ambil tindakan. Pelajar merokok, dia rotan. Sayang sungguh dia pada pelajarnya, risau akhlak mereka rosak, risau mereka menjadi sampah masyarakat.
Dia cuba sedaya upaya memanusiakan manusia. Dia tahu ia takkan sesekali mudah, tetapi dia tetap tabah.
Tapi guru, selamanya begitu. Marah memang marah, kecewa memang kecewa, tetapi untuk mendakwa pelajar sendiri sangat payah. Kasihnya lebih mendalam dari dendam dan amarah. Tapi kalau seringkali harta benda dirosakkan, siapa yang dapat tahan? Duit di poket pun semakin kurang.
Dia hantar kereta ke bengkel untuk dibaikpulih agar seperti sedia ada. Mungkin bertahan setahun dua atau sebulan dua atau seminggu dua sebelum kejadian yang sama akan berulang.
Tapi aku pasti, guru ini takkan pernah penat. Takkan pernah mengalah demi sebuah tugas. Ya, dia memikul tugas paling berat di alam maya ini, iaitu memanusiakan manusia!
Ibu bapa, tolonglah cakna sama. Kita dulu pernah remaja juga. Bukan keluar dari perut ibu terus ada kerja, terus janggut panjang berjela.
Kita faham jiwa remaja yang mudah memberontak. Rasa gah bila dipandang samseng. Rasa hebat bila berbuat jahat. Aku tahulah, aku pun pernah remaja juga. Kau pun sama kan?
Cubalah slow talk dengan anak-anak remaja, nasihatkan mereka. Walau setinggi mana pun amarah mereka pada sang guru, jangan sampai dipecahkan cermin kereta. Jangan sampai merosakkan harta benda. Jangan dibuat sebegini rupa.
Anak kita kan? Pasti kita tahu sedikit sebanyak baran mereka. Pasti kita sedar kenakalan mereka di sekolah. Walau tidak tahu banyak, pasti kita dapat hidu. Kan kita pun pernah lalu zaman itu.
Tolonglah nasihat dan beritahu anak-anak, jangan sampai merosakkan harta benda guru mereka. Walau sedalam mana pun dendam, ajar mereka tahan. Ajar mereka luahkan dengan cara yang lain, bukan melalui cara ini.
Poket guru tidak setebal poket menteri, entah duit bajet dapur perlu dikurangkan atau tabung simpanan kecemasan terpaksa dipecahkan. Fikir-fikirkan. Fikirkan dalam-dalam.
Ibu bapa, tolonglah cakna sama. Bantu kami memanusiakan mereka. Bantulah walaupun sedikit. Walau tidak mampu bantu dalam pelajaran, bantulah dengan nasihat. Tugas membentuk masyarakat ini sebenarnya bermula dari rumah. Kalian yang pertama, kami para guru di sekolah yang menyambungnya.
Sumber: Cikgu Mohd Fadli Salleh
Post a Comment