19 wanita diselamatkan dari 'kilang bayi'
19 wanita hamil dan empat kanak-kanak telah diselamatkan dari sebuah 'kilang bayi' di Nigeria.
Serbuan yang dilakukan oleh Polis Lagos di empat premis tersebut pada Isnin menemui 19 wanita berkenaan yang berusia dari 15 hingga 28 tahun bersama dengan beberapa bayi termasuk salah seorang daripadanya baru berusia sehari.
Polis turut menahan dua suspek berusia 40 dan 54 tahun yang dipercayai bekerja sebagai jururawat tidak bertauliah di 'kilang' tersebut.
Bagaimanapun, polis masih mencari suspek utama yang merupakan wanita dikenali sebagai Oluchi, ibu kepada lima orang anak.
Siasatan awal mendapati, anak-anak yang dikandung akan diperdagangkan dan dijual dengan harga RM5,143 bagi bayi lelaki dan RM3,600 untuk bayi perempuan.
Majoriti mangsa telah diperdaya meninggalkan kampung mereka dengan janji palsu kononnya akan diberi melakukan kerja-kerja domestik di Lagos sebelum dirogol dan hamil.
Ada beberapa wanita turut menyertai sindiket itu secara sukarela kerana percaya mereka akan dibayar. Tetapi mereka langsung tidak pernah diberikan sebarang bayaran.
Pihak polis dimaklumkan oleh kejiranan di kampung itu pada 19 September lalu selepas menyedari kehadiran ramai wanita mengandung di kawasan mereka.
Salah seorang mangsa berkata, dia sanggup meminjam wang untuk pergi ke Lagos kerana dijanjikan melakukan pekerjaan sebagai pembantu rumah. Tetapi apabila dia tiba di terminal bas, telefon bimbitnya dirampas dan dibawa ke 'kilang' tersebut di mana dia dimaklumkan akan ditempatkan di situ.
Pada mulanya, dia dipaksa menjadi pelacur dan tidur dengan beberapa pelanggan setiap malam sebelum disahkan hamil.
Mangsa kemudian dipindahkan ke bangunan lain dan diberitahu sekiranya dia meneruskan kandungannya itu, dia akan dibayar dengan bayaran lebih lumayan dan dibenarkan keluar dari tempat itu.
Kesemua mangsa kini sedang menjalani pemulihan dan polis masih melakukan siasatan.
Sumber: Daily Mail
Post a Comment