Remaja maut selepas main PUBG 6 jam tanpa henti


Ketagihan melampau seorang remaja lelaki berusia 16 tahun pada permainan PlayerUnknown's Battlegrounds (PUBG) akhirnya mengundang padah apabila mangsa dilaporkan meninggal dunia selepas bermain PUBG selama enam jam. 

Hindustan Times melaporkan, mangsa, Furkhan Qureshi, 16, dari Madhya Pradesh, India, rebah selepas enam jam bermain PUBG pada Selasa lalu, terus dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia. 

Bapa mangsa, Harun Rashid Qureshi berkata, Furkhan mula bermain PUBG selepas waktu maka tengah hari dan berterusan selama enam jam. 

"Sebelum rebah, dia menjadi tertekan dan mula menengking pemain lain," katanya.

Pada waktu kejadian itu, adiknya, Fiza Qureshi yang duduk di sebelah mangsa memberitahu bagaimana abangnya melenting sehingga melemparkan telefon pintar dan fon kepala kerana tidak berpuas hati dengan salah seorang pemain yang juga rakannya. 

Mangsa kemudian rebah dan dikejarkan ke hospital, namun doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia. 

Pakar Kardiologi, Dr Ashok Jain berkata, Furkhan dibawa ke hospital dalam keadaan tanpa denyutan nadi. 

"Kami cuba menyelamatkannya dengan melakukan renjatan dan menyuntik ubat, tetapi gagal. 

"Keghairahannya bermain PUBG mugkin menyebabkan adrenalinnya mengalir deras sehingga berlaku serangan jantung. 

"Saya merayu kepada generasi muda supaya mengelakkan daripada bermain PUBG seumpamanya kerana ia boleh menyebabkan serangan jantung," katanya. 

Sumber: Harian Metro

No comments