'Hukuman rotan adalah tidak dibenarkan untuk murid perempuan' - Timbalan Menteri Pendidikan


Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching menjelaskan, guru tidak wajar merotan pelajar perempuan terutamanya di bahagian badan yang tidak sepatutnya. Beliau berkata, larangan itu tertakluk pada ketetapan yang dibuat Kementerian Pendidikan menerusi garis panduan dalam pengurusan disiplin dan kuasa merotan murid di dalam Peraturan 5, Ordinan Pelajaran 1957. 

"Hukuman rotan adalah tidak dibenarkan untuk murid perempuan dan hukuman kepada murid lelaki adalah dihadkan kepada merotan dengan rotan yang ringan di tapak tangan atau di punggung yang berlapik dengan pakaian di bawah kuasa guru besar," katanya. 

Teo Nie Ching berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan Astro Awani mengenai video viral seorang guru lelaki merotan pelajar perempuan kerana memanggilnya 'ah qua lao shi' (cikgu pondan) tanpa sebab. 

Dalam pada itu, Nie Ching berkata, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Johor Bahru dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor sedang menjalankan siasatan mengenai kes itu dengan kerjasama pihak polis. 

Beliau yakin kes itu dapat diselesaikan dengan cara baik dan memohon semua pihak bertenang dan memberi ruang kepada dua pihak berkenaan untuk menjalankan siasatan. 

LAPORAN BERKAITAN

No comments