(Video) 'Apalah dosa kucing ni, sampai kau aniaya dia begini'
Netizen di China mendesak pihak universiti mengambil tindakan tegas terhadap seorang pelajarnya yang didapati membunuh seekor kucing dengan kejam.
Pelajar yang tidak didedahkan identitinya itu dilaporkan telah menggunakan busur dan anak panah untuk membunuh kucing itu, tidak lama selepas dia tiba di Universiti Ekonomi Hubei untuk semester pertamanya.
Semalam, gambar kucing malang yang dibuang di tempat pembuangan sampah itu mula viral di media sosial di negara itu.
Beberapa pelajar mengeluarkan kucing itu dan terus membawanya ke klinik haiwan untuk mendapatkan rawatan.
Malangnya, meskipun mereka telah membelanjakan kos rawatan sebanyak 1,000 yuan (RM603), kucing itu gagal diselamatkan.
Suspek dipercayai melakukan perbuatan kejam itu ketika waktu rehat bagi sesi latihan ketenteraan dan video itu dirakam oleh rakannya.
Pada malam Selasa lalu, pihak universiti memaklumkan siasatan akan dijalankan dengan bantuan pihak polis.
Bagaimanapun, tidak dapat dikenal pasti apakah tindakan atau hukuman yang akan dikenakan terhadap suspek. Sementara itu di media sosial, netizen mendesak pihak universiti membuang pelajar terbabit.
Post a Comment