Kerana tabiat gigit kuku, ibu jari wanita ini terpaksa dipotong


Seorang pelajar wanita terpaksa dipotong ibu jarinya selepas dijangkiti kanser yang dipercayai berpunca dari tabiatnya menggigit kuku, lapor The Sun. 

Courtney Whithorn, 20, mula menggigit kuku jarinya ketika dia dibuli rakan sekolah pada usia 16 tahun. Malangnya, tabiatnya itu menjadi semakin teruk dan pada tahun 2014, dia mula menggigit seluruh kuku ibu jarinya menyebabkan kuku ibu jari tumbuh dengan tidak sempurna. 

Selepas itu, Courtney menyembunyikan ibu jarinya dari dilihat oleh orang sekeliling selama empat tahun. Tetapi apabila ibu jarinya mula menjadi kehitaman, Courtney memaklumkan kepada ibu bapanya.

"Saya agak takut bila melihat kulit ibu jari saya mula kehitaman, lalu saya maklumkan kepada mak dan ayah untuk pertama kalinya pada tahun ini. 

"Saya terpaksa memakai kuku palsu untuk menyembunyikannya kerana ia berwarna hitam," katanya. 


Pada Julai 2018, doktor mengesahkan Courtney dijangkiti kanser kulit yang jarang ditemui, yang dikenali sebagai acral lengtiginous subungual melanoma. 

"Apabila saya mengetahui tabiat menggigit kuku jari yang menyebabkan kanser kulit, ia amat mengejutkan saya," katanya. 


Semenjak disahkan menghidap kanser itu, Courtney terpaksa menjalani empat pembedahan dengan harapan ibu jarinya dapat diselamatkan. Malangnya sudah terlewat apabila doktor menyarankan ibu jarinya dipotong kerana sel kanser itu masih ada di ibu jarinya. 

"Saya sentiasa menggenggam jari agar tiada yang nampak walaupun ibu bapa sendiri. Namun saya mula menjadi panik apabila menyedari kulit kuku ibu jari mula berubah kehitaman. Setelah empat tahun menyembunyi masalah ini, baru tahun ini saya beritahu kepada ibu bapa. 


"Saya sudah bertemu dengan doktor agar ibu jari ini dapat dirawat melalui rawatan kosmetik. Tetapi saya dirujuk kepada pakar bedah plastik yang kemudian mencadangkan kuku ini dibuang. 

"Sebelum melakukan pembedahan pertama, doktor yang merawat memaklumkan ada sesuatu yang tidak kena dan mahu membuat biopsy. 

"Selepas dimaklumkan bahawa ia adalah kanser, saya terkedu dan bagaikan tidak percaya. Ibu saya turut menangis kerana terlalu sedih," katanya. 



Courtney yang tinggal di Gold Coast, Australia kini terpaksa menangguhkan pengajiannya di Griffiths University untuk memberi tumpuan kepada proses penyembuhan ibu jarinya. 

Menurut Courtney, minatnya pada penulisan mungkin akan terjejas memandangkan ibu jarinya telah dipotong. 

"Saya masih menunggu keputusan dari pembedahan yang dijalankan minggu lepas dan jika keputusannya baik, doktor bedah akan memantau saya untuk tempoh lima tahun dan saya akan kerap menjalani ujian darah dan imbasan," katanya.

No comments