Bayi baru lahir ditemui dalam beg PUGB, nyaris dibuang ke dalam lori sampah
Klip video yang dirakam orang awam menunjukkan, bayi itu berada dalam beg yang digantung pada pagar di Bandar Lapu-Lapu, Filipina.
Ramai orang awam yang berkumpul melihat bayi itu yang perlahan-lahan membuka matanya dan meletakkan jarinya ke dalam mulut. Salah seorang individu kemudian mengipasnya untuk memberi keselesaan.
Ambulans tiba di tempat kejadian pada jam 10 pagi, Isnin, sebelum membawa bayi itu ke Hospital Daerah Lapu-Lapu.
Turut ditemui dalam beg itu adalah pakaian seragam pelajar perempuan sekolah menengah dan seluar dalam yang berlumuran darah. Pakaian seragam itu dipercayai milik seorang pelajar sekolah berusia 12 atau 16 tahun.
"Bayi itu betul-betul bernasib baik, dia nyaris dibuang ke dalam lori sampah. Saya harap bayi itu akan dijaga dengan baik. Tetapi saya kasihan juga dengan ibunya. Pakaian seragam itu milik ibunya yang masih usia remaja dan dia perlukan bantuan," kata Rheene Lee, yang turut menyaksikan penemuan itu.
Pihak polis kini sedang menyiasat kejadian itu.
Sementara itu, jururawat Emily Ng, berkata, susulan viral berita penemuan bayi itu, ramai yang datang ke hospital untuk mengambil bayi itu sebagai anak angkat.
"Kami belum ada nama lagi untuk bayi ini. Tetapi ramai orang yang mengetahui berita penemuan bayi ini dan bertanya sama ada bolehkah mereka mengambilnya sebagai anak angkat.
"Dia tidak tahu permulaan hidupnya yang agak menyedihkan, tetapi saya pasti dia akan dijaga dengan baik oleh bakal ibu bapanya kelak," katanya. - Daily Mail
Post a Comment