Penjawat Awam Putrajaya disamun dan kereta dilarikan suspek
Penjawat awam wanita disamun lelaki bersenjatakan pisau di tempat letak kereta di Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Larai, Presint 6, Putrajaya, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.37 malam itu, mangsa berusia 37 tahun yang mahu menaiki lif ke rumahnya, diacu dengan pisau oleh suspek memakai topi berwarna gelap, berbaju T kelabu gelap dengan ketinggian kira-kira 180 sentimeter serta berkulit gelap.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hassan berkata, kejadian itu disedari orang awam lalu mengejar suspek yang turut melarikan kereta Nissan Almera milik mangsa, selain melarikan beg tangannya.
"Bagaimanapun, kereta dipandu suspek hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Persiaran Timur menghala ke Kajang-Puchong.
"Suspek berjaya melarikan diri ke dalam hutan berhampiran. Kami masih giat mengesan suspek," katanya.
Khidmat Unit K9 Sepang juga digunakan tetapi suspek masih gagal dikesan. Namun, hasil pemeriksaan anggota forensik di kenderaan mangsa berjaya mengesan lapan cap jari di bahagian dalam pintu pemandu dan penumpang di sebelah kiri.
Polis akan mengeluarkan fotofit suspek dalam tempoh terdekat untuk diedarkan.
Sumber: Harian Metro
Post a Comment