Rompak RM7.9 juta milik 'Datuk', 7 pegawai polis ditahan


Pada 8 September lalu, tujuh pegawai polis yang berlainan pangkat telah menyerbu kediaman dan mencuri sebanyak RM7.9 juta wang tunai dari premis tersebut. 

Kejadian itu berlaku di Lorong Ampang, Kuala  Lumpur, ketika pemiliknya yang berpangkat 'Datuk' dan juga merupakan ahli perniagaan berada di Indonesia. 

Lapor New Straits Times, serbuan itu melibatkan tiga pegawai kanan, empat pegawai bawahan dan seorang orang awam yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat inspektor dari cawangan narkotik. 

Memandangkan mereka tidak dapat masuk ke kondominium milik 'Datuk' itu begitu sahaja, suspek telah menahan empat kakitangannya dan menjalankan ujian saringan air kencing, dan mendakwa kesemua kakitangannya positif dadah jenis methamphetamine. Dengan cara itu, mereka dapat masuk ke premis milik Datuk yang berusia 50 tahun berkenaan. 

Bagaimanapun, mangsa membuat laporan polis dua hari kemudian selepas pulang dari Indonesia. 

Menurut laporannya, sebanyak RM2 juta, RM3.9 juta dan RM2 juta telah dicuri dari peti besinya, bilik tidur utama dan BMW X5. 

Selain itu, kunci kereta Bentley, Porsche Panamera, Porsche Macan dan Ford Ranger miliknya juga telah dicuri. 

Ketika kejadian itu berlaku, kamera litar tertutup (CCTV telah dinyahaktifkan, kecuali sebuah kamera CCTV yang terletak di bahagian ruang bawah tanah. 

Kelibat semua suspek berjaya dirakam CCTV di mana suspek dilihat sedang menolak beberapa troli beg yang mengandungi wang tunai. Suspek kemudian membuat laporan bahawa hanya sebanyak RM1.4 juta telah dirampas. 

Bagaimanapun, kesemua suspek telah ditahan dan RM5 juta telah dirampas dari suspek. RM3 juta dari jumlah keseluruhan telah dirampas dari inspektor, tiga pegawai bawahan dan seorang orang awam. 

Seorang pegawai wanita yang berpangkat penolong pesuruhjaya dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menyerahkan kembali RM250,000 pada malam Ahad lalu.

Difahamkan, suspek sepatutnya melaporkan diri untuk bertugas pada minggu ini sebagai penolong pegawai kanan pesuruhjaya di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman. 

Superintendan dari Unit Pencegah Jenayah dan Timbalan Superintendan dari Jabatan Narkotik pula dipercayai telah menyerahkan semula ratusan ribu ringgi kepada pihak polis seminggu selepas itu. 

Polis masih menyiasat kes tersebut dan akan mengeluarkan kenyataan kepada media sekiranya perlu. 

No comments