Kes Lukman, Nurul Izzah akan tulis rayuan kepada Peguam Negara
Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar, dilaporkan akan menulis rayuan kepada Peguam Negara, Thommy Thomas, berhubung kes Muhammad Lukman Mohamad, 29, yang dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana memiliki, memproses dan mengedarkan ganja yang diproses bagi tujuan perubatan.
Menurut beliau, rayuan itu akan ditulis secara peribadi untuk mendapatkan pengampunan terhadap Lukman, berdasarkan merit kes itu.
"Ganja semakin diterima ramai di banyak negara sebagai tumbuhan yang mempunyai banyak faedah, terutamanya rawatan pelbagai penyakit kronik. Sudah tiba masanya untuk menyemak semula definisi apa yang membezakan seseorang individu, pengedar, penagih atau pesakit yang memerlukan ganja untuk rawatan," katanya, memetik laporan The Star Online.
Pada Disember 2015, Lukman dan isterinya yang sedang hamil ditahan dalam satu serbuan di kediamannya kerana memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4 kilogram bahan mengandungi tetrahydrocan nabinal (THC).
30 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Lukman.
Kes itu kemudian viral di media sosial dan ramai netizen yang bangkit mempertahankan Lukman kerana bagi netizen, tidak wajar lelaki itu dikenakan tindak sedangkan dia memproses ganja itu dalam bentuk minyak untuk tujuan perubatan bagi pesakit kanser.
Difahamkan, rawatan alternatif yang dilakukan oleh Lukman itu telah merawat kira-kira 800 pesakit.
Ketika perbicaraan kes itu, peguamnya, Farhan Maaruf, juga ada membawa saksi-saksi yang pernah menggunakan khidmat minyak ganja Lukman. Bagaimanapun, Lukman tetap disabitkan bersalah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, individu yang didapati memiliki 200 gram ganja atau lebih, boleh dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.
Ekoran itu, satu petisyen telah diwujudkan bagi menggesa Lukman dibebaskan segera. Setakat ini, petisyen tersebut telah berjaya mengumpul lebih 40,000 tandatangan.
BERITA BERKAITAN:
Post a Comment