6 lelaki rompak kedai emas di AEON Rawang


RAWANG, SELANGOR - Viral video enam lelaki memakai topi keledar bersenjatakan pistol dan tukul besi merompak sebuah kedai emas di pusat beli belah AEON Rawang, jam 6.40 petang semalam, lapor Harian Metro. 

Dalam video yang dirakam oleh pengunjung pusat beli belah itu menunjukkan salah seorang suspek berusaha memecahkan cermin meja pameran dan meletakkan barang kemas dalam beg sebelum melarikan diri.


Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, polis menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian rompakan itu pada jam 6.45 petang. 

"Keenam-enam suspek menaiki tiga buah motosikal Yamaha 125. Bagaimanapun, hanya empat daripada mereka yang masuk ke premis tersebut. 

"Dua daripada suspek membawa tukul besi, manakala seorang lagi suspek bersenjatakan pistol. Suspek kemudian melepaskan satu das tembakan ke arah siling di dalam kedai tersebut dan memecahkan empat cermin meja pameran sebelum melarikan diri," katanya. 


Ketika kejadian itu berlaku, ada dua pelanggan wanita dan empat kakitangan dalam premis tersebut. Namun tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan dalam kejadian itu. 



"Kami masih menjalankan siasatan termasuk mengenal pasti jumlah kerugian dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dalam premis tersebut," katanya. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971. 

No comments