Gadis remaja cuba bunuh diri selepas ibu tidak mengendahkan dakwaan dia telah dicabul oleh bapa sendiri


KAJANG, SELANGOR - Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun cuba mengakhiri hidupnya dengan memotong pergelangan tangannya selepas dicabul oleh bapanya beberapa kali sejak tujuh bulan yang lalu, lapor New Straits Times. 

Mangsa yang kini sedang menerima rawatan di hospital yang tidak didedahkan itu berkata, dia terpaksa melakukan tindakan terdesak itu apabila ibunya tidak mengambil peduli ke atas aduannya mengenai lelaki itu. 

Episod gelap itu bermula pada bulan Mac lalu apabila suspek didakwa meraba-raba payudaranya dan meletakkan tangannya di dalam seluar dalamnya. Suspek juga dikatakan telah mencabul mangsa yang merupakan anak sulung dari empat beradik, ketika suspek menjemput mangsa pulang dari sekolah dengan motosikal. 

Suspek yang bekerja sebagai tukang kebun itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap enam pertuduhan mencabul mangsa di rumah mereka di Beranang antara bulan Mac dan Ogos tahun ini. 

Kesalahan itu dibicarakan di bawah Seksyen 14(1) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana melakukan serangan fizikal tanpa hubungan seksual, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan. 

Tertuduh yang memaki baju putih dan seluar hitam itu kelihatan tenang apabila dia muncul di mahkamah dan mengangguk faham terhadap tuduhan yang dibacakan kepadanya. 

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria meminta Hakim Surita Budin tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh bagi melindungi mangsa. 

"Mangsa telah melakukan perbuatan itu (memotong pergelangan tangan) kerana dia trauma dan tertekan dengan perbuatan yang dilakukan oleh bapanya itu. 

"Dia kini dirawat di hospital dan diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya. 

Bagaimanapun, isteri tertuduh juga turut hadir semasa prosiding juga menegaskan bahawa suaminya tidak bersalah dan memohon ditawarkan ikat jamin minimum. Namun mahkamah tidak menawarkan sebarang ikat jamin dan menetapkan 17 Oktober depan untuk sebutan semula kes. 

No comments