Ibu bapa suspek bakar bangunan pusat tahfiz akan didakwa?
POLIS tidak menolak kemungkinan untuk mendakwa ibu bapa suspek dipercayai terbabit dalam kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa, Khamis lalu .
Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, bagaimanapun, perkara itu hanya akan diputuskan oleh pejabat Peguam Negara.
"Saya tidak boleh komen sebab (masih) terlalu awal untuk komen. Kita melihat dari semua sudut. Apa yang saya boleh kata awak (wartawan) tunggu dan lihat kerana ketika ini keutamaan kita adalah melengkapkan kertas siasatan dan menghantar laporan kepada pihak berkaitan.
"Ia juga bergantung kepada cadangan kami kelak. Kita akan melakukan yang sewajar. Pada masa sama, perkara ini perlu dibincang dengan pejabat Peguam Negara.
"Pegawai kami juga bekerja keras untuk melengkapkan kertas siasatan dalam tempoh terdekat ini," katanya ketika ditemui media selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Mengenai Pasukan Petugas Khas Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada ibu bapa kepada tujuh suspek yang terbabit dalam insiden kebakaran maahad tahfiz berkenaan boleh didakwa untuk memberi pengajaran kepada orang ramai.
Ditanya sama ada ketujuh-tujuh suspek berkenaan akan terus didakwa atau disambung reman, Mohamad Fuzi berkata, ia bergantung kepada keperluan pihak polis.
"Ketika ini, laporan dari beberapa pihak termasuk Jabatan Kimia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta beberapa laporan lain yang perlu dilengkapkan dalam masa terdekat.
"Ini kerana kita perlu menghantar laporan kepada pihak berkenaan secepat mungkin," katanya.
Dalam kejadian Khamis lalu, 21 pelajar dan dua guru terkorban manakala tujuh cedera.
Susulan kejadian, tujuh remaja disyaki terbabit dalam perbuatan khianat membakar pusat tahfiz tersebut ditahan reman. - Harian Metro
Post a Comment