Ibu bapa suspek tidak akan didakwa - KPN
KOTA BHARU, KELANTAN - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ibu bapa kepada tujuh suspek yang disyaki membakar asrama pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah tidak akan didakwa, lapor Berita Harian.
Katanya, khabar angin bahawa ibu bapa suspek akan turut didakwa di mahkamah sebagai pengajaran bagi golongan ibu bapa yang lain hanyalah spekulasi semata-mata.
"Ibu bapa suspek tiada kena mengena dengan kes ini, malah tindakan tujuh suspek ini dikategorikan sebagai kesalahan juvana.
"Semua pihak termasuk media tidak perlu membuat spekulasi yang bukan-bukan mengenai perkara ini. Kami akan mengemukakan saran kepada pihak pendakwaan berdasarkan hasil siasatan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai perkembangan kes itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya memerlukan sedikit masa saja lagi utuk melengkapkan kertas siasatan berikutan kekangan, termasuk tidak boleh mengambil keterangan pelajar yang cedera di hospital.
Pihaknya juga menunggu laporan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bomba, Jabatan Kimia dan Forensik, yang memerlukan sedikit masa untuk dilengkapkan.
"Bagaimanapun, kertas siasatan ini akan disiapkan secepat mungkin memandangkan kes ini sudah menjadi 'high profile'," katanya.
Post a Comment