Tengah syok main PUBG, lelaki dilibas dengan parang


Seorang lelaki berusia 21 tahun cedera di betis kanan selepas dilibas dengan parang oleh rakannya. 

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku pada jam 10.30 malam Ahad di Kampung Telaga Batu, Mukim Putat. 

Sebelum kejadian itu, mangsa sedang bermain permainan video PUBG bersama dengan beberapa orang rakannya di hadapan rumah suspek. 

Namun, berlaku pertengkaran di antara mereka apabila suspek mendakwa mangsa pernah menuduh dia mengajar anak saudara mangsa menghisap rokok. 

Mangsa menafikan tuduhan itu menyebabkan suspek berang lalu mengambil parang dan menyerang mangsa. 

Mangsa cuba mengelak tetapi cedera di bahagian betis kanan akibat dilibas suspek, sebelum melarikan diri dan membuat laporan polis. 

Susulan itu, polis menahan suspek pada jam 12.30 tengah malam tadi dan direman sehingga Khamis ini. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan. 

Sumber: Sinar Harian

No comments