Pusat beli-belah jual produk bumiputera akan dibuka
Sebuah pusat beli-belah yang akan menjual produk Bumiputera akan dibuka berhampiran Raudhah City di Cyberjaya.
Menurut pengasas syarikat pemaju, Raudhah City Sdn Bhd, Mohd Fadzil Hashim berkata, idea untuk membuka Malakat Mall adalah bertujuan meningkatkan penyertaan usahawan Bumiputera dalam pasaran runcit.
Sebelum ini katanya, kajian menunjukkan sektor peruncitan Bumiputera masih tidak berkembang kerana tidak dapat menyertai pasaran.
Analisis yang dilakukan pada data yang diperolehi menunjukkan Bumiputera tidak boleh pergi jauh kerana tiada akses kepada pasaran.
"Kita tiada pusat beli-belah, jadi antara rancangan strategik kami adalah untuk mempunyai pusat beli-belah," katanya.
Jelasnya lagi, isu sebenar melibatkan peniaga Bumiputera bukanlah persaingan dengan usahawan kaum lain tetapi mengenai perkembangan usahawan Bumiputera itu sendiri.
Selepas 62 tahun Merdeka, komuniti Bumiputera masih ketinggalan dalam sektor ekonomi. Bumiputera tidak ada adalam sektor peruncitan, sedangkan siapa yang kawal sektor peruncitan, dia akan kuasai ekonomi," katanya.
Meskipun di media sosial kini sedang heboh dengan kempen beli produk peniaga muslim, namun Fadzil menjelaskan ideanya itu tiada kaitan dengan kempen tersebut kerana ideanya itu diperoleh jauh lebih awal dari kempen itu.
"Sasaran kita adalah untuk membolehkan kehadiran perusahaan Bumiputera dalam industri peruncitan ini dirasai dengan mengurangkan pemilikan asing daripada terlibat dalam pasaran.
"Kita nak syarikat asing melabur dalam bidang strategik, tetapi bukan datang ke negara kita menjual ayam dan beras, bukan melakukan perniagaan yang rakyat kita sendiri boleh buat," katanya.
Sumber: The Malaysian Insight, Malaysia Kini
Post a Comment