Tolak kempen boikot, utamakan barangan Malaysia - Guan Eng
Rakyat diseru menolak kempen memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam atau Bumiputera dan mengutamakan pembelian barangan Malaysia.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kempen itu yang kononnya dijalankan pihak tertentu adalah tidak waras dan tidak wajar selain membawa kepada pepecahan di kalangan rakyat.
“Kabinet baru-baru ini telah mengeluarkan kenyataan, bahawa rakyat Malaysia yang cintakan negara harus menolak kempen memboikot barangan atau produk bukan Islam atau mana-mana pihak, ini harus disokong oleh rakyat Malaysia.
“Selain menolak kempen boikot memboikot, marilah kita mengutamakan pembelian barangan Malaysia untuk menunjukkan kita cintakan Malaysia,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Kebudayaan Cina Malaysia ke-36 di sini, hari ini.
Menjelas lanjut beliau berkata, persengketaan seumpama itu tidak harus wujud sama ada di negara ini atau di dunia kerana ia membawa banyak kesan negatif.
Lim yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, bagi mengelak keadaan itu rakyat harus mempromosi semangat ‘multilateralisme’ berbanding ‘unilateralisme’ yang akan memastikan segala usaha dilakukan dalam negara berhasil.
“Sekiranya kita mempromosikan unilateralisme apa yang berlaku adalah perang perdagangan yang kita lihat telah membawa banyak kerugian bukan sahaja kepda negara kecil tetapi negara besar juga.
“Itulah sebabnya kita nak lihat bahawa kita ada perdagangan yang bebas dan adil, jangan ada peperangan perdagangan yang kita lihat sekarang kerana kalau berlaku peperangan perdagangan akan berlaku banyak kerugian,” katanya.
Rabu lalu, jemaah menteri menerusi kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Perdana Menteri bersetuju bahawa usaha memboikot barangan keluaran pengusaha bukan Islam di negara ini adalah sangat tidak wajar.
Jemaah menteri juga menolak pemikiran dan pendirian sempit berasaskan sentimen perkauman yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu kerana ia boleh menjejaskan keharmonian dan kesejahteraan negara.
Sumber: Bernama
Post a Comment