Polis nafi dakwaan ada mayat dalam tangki air, tuntut individu sebar berita palsu tampil ke balai


Polis hari ini menafikan dakwaan di media sosial Facebook bahawa ketiadaan bekalan air di Port Dickson adalah berikutan penemuan mayat di dalam tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS).

Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Aidi Sham Mohamed berkata dakwaan itu yang dibuat oleh seorang individu di media sosial adalah tidak benar.

“Setakat ini, polis masih belum menerima sebarang aduan dan laporan polis daripada orang awam berkenaan kes tersebut," katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini, hari ini.

Pemilik akaun berkenaan katanya diminta tampil bagi memberi keterangan kerana telah menimbulkan kegusaran terhadap orang awam.

Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak benar dan sahih di media sosial dan kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Sementara itu, SAINS hari ini turut menafikan satu hantaran yang tular di media sosial kononnya terdapat mayat di dalam tangki air milik syarikat itu di Port Dickson.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam SAINS, Norzita Ismail berkata pihaknya telah menjalankan siasatan di beberapa buah tangki air di sekitar Port Dickson dan Springhill, namun tidak menemui mayat seperti mana yang ditularkan.

“Didapati semua tangki berada dalam keadaan selamat dan terkawal. Oleh yang demikian, SAINS memohon kepada semua penduduk di sekitar Port Dickson supaya tidak mempercayai fitnah yang ditularkan oleh pihak tidak bertanggungjawab," katanya dalam kenyataan di sini.


Ekoran itu, SAINS katanya akan membuat laporan polis untuk mengesahkan tangki milik SAINS berada dalam keadaan terkawal dan tiada sebarang aktiviti pencerobohan ketika ini.

Sumber: Bernama

No comments