3 maut, 2 buah kereta hilang kawalan di KM29.9 Lebuhraya Linkedua
Dua buah kenderaan dilaporkan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 29.9 Lebuhraya Linkedua, Senai, tengah hari tadi menyebabkan tiga maut, manakala tiga lagi cedera, lapor Harian Metro.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian yang berlaku pada jam 12 tengah hari ketika hujan dan keadaan persekitaran yang agak gelap itu meragut nyawa Muhammad Assel Habel Akbar, 21, Muhammad Safuan Sazali, 23, dan Mohamad Ridzuan Mohamad, 24, akibat poarah di kepala dan badan.
Kemalangan itu turut menyebabkan Nur Syahirah Mohamad Farid, 21, Nur Zaffira Zulkhairi, 25 dan Muhammad Hamirul Ikmal Ishmuddin, 24, cedera dan kini sedang dirawat di Hospital Kulai.
Siasatan awal mendapati, kemalangan itu berlaku apabila kereta Honda Civic yang dipandu oleh Muhammad Assel hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar besi tengah pembahagi jalan.
"Keadaan itu mengakibatkan kenderaan itu berpusing beberapa kali menyebabkan pemandu dan Muhammad Safuan yang duduk di bahagian penumpang hadapan tercampak keluar.
"Kejadian mengakibatkan kedua-dua mangsa tercampak dan meninggal dunia akibat parah di badan dan kepala," katanya.
Dalam masa yang sama, sebuah Perodua Bezza yang mengekori Honda Civic itu juga gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke kiri jalan dab berpusing serta terbalik ke dalam longkang di bahagian kiri jalan.
Pemandunya, Mohamad Ridzuan, tercampak keluar dari kenderaan dan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan sehingga menyebabkan kehilangan nyawa.
Post a Comment